Skip to main content

Singapura

Warga Malaysia terkait sindiket penipuan diberkas; jongkong emas bernilai S$200,000 dirampas

Anggaran Waktu Membaca:
Warga Malaysia terkait sindiket penipuan diberkas; jongkong emas bernilai S$200,000 dirampas
(Gambar: SPF)
Diterbitkan : 30 Nov 2025 01:19PM Dikemas Kini : 30 Nov 2025 01:20PM
SINGAPURA: Seorang wanita warga Malaysia diberkas kerana didakwa terlibat dalam sekurang-kurangnya tiga kes penipuan melibatkan penyamaran sebagai pegawai pemerintah, dedah polis pada Ahad (30 Nov).

Seorang pekerja di BullionStar memaklumkan kepada polis mengenai seorang wanita mencurigakan yang berkeliaran di luar kedai runcitnya di New Bridge Road pada 24 Nov.

Wanita 73 tahun itu diberkas kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keldai wang.

Jongkong emas bernilai hampir S$200,000 dirampas daripada suspek, serta wang tunai berjumlah S$200.

Polis menyatakan mereka menerima laporan mengenai penipu yang menyamar sebagai pegawai Penguasa Kewangan Singapura (MAS) antara 8 Oktober dengan 24 November.

Mangsa diberitahu bahawa akaun bank mereka mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram atau maklumat peribadi mereka telah dikompromi.

"Mereka diarahkan untuk menyerahkan wang dan barang berharga untuk tujuan siasatan. Mangsa bersetuju dan akan bertemu dengan individu yang tidak dikenali di pelbagai lokasi di seluruh Singapura untuk menyerahkan wang tunai dan jongkong emas," tambah polis.

"Mangsa kemudian menyedari mereka ditipu apabila mereka gagal menerima bayaran balik yang dijanjikan, atau apabila pegawai yang dikatakan itu tidak dapat dihubungi."

Siasatan awal mendapati wanita tersebut sudah menjalankan operasi sindiket penipuan dengan mengumpul wang tunai dan jongkong emas daripada mangsa penipuan penyamaran pegawai pemerintah di seluruh Singapura.

Barang berharga itu kemudian diserahkan kepada individu yang tidak dikenali yang dipercayai anggota sindiket tersebut.

Siasatan ke atas wanita tersebut sedang dijalankan.

Pada awal bulan ini, polis menyatakan terdapat trend peningkatan warga Malaysia yang melancong ke Singapura untuk membantu sindiket penipuan mengumpul wang tunai, emas dan barang berharga daripada mangsa penipuan.

Mereka menggesa orang ramai supaya tidak memindahkan atau menyerahkan wang dan barang berharga kepada orang tidak dikenali yang identitinya belum disahkan atau meninggalkannya di suatu tempat untuk diambil nanti.

Orang ramai diingatkan bahawa pegawai pemerintah, termasuk dari MAS, tidak akan meminta mereka untuk memindahkan wang, berkongsi butiran log masuk bank dan memuat turun aplikasi daripada sumber tidak rasmi melalui telefon, atau memindahkan panggilan telefon kepada polis.

Polis menambah mereka mengambil serius terhadap individu yang mungkin terlibat dalam penipuan dan pesalah akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita