Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga M'sia yang bertugas di S'pura pulang ke rumah sebagai maskot 'Minion'

Selepas terpisah daripada keluarganya lebih setahun setengah akibat pandemik COVID-19, impian Encik Muhd Hafeez Naem akhirnya tercapai jua.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selepas terpisah daripada keluarganya lebih setahun setengah akibat pandemik COVID-19, impian Encik Muhd Hafeez Naem akhirnya tercapai jua.

Menariknya, kepulangan warga Malaysia yang bertugas di Singapura itu juga penuh dengan kejutan dan cukup istimewa.

Selepas bergambar dengan kaum keluarga, maskot 'Minion' itu akhirnya 'mendedahkan dirinya yang sebenar' dengan membuka sarung kepala yang dipakai.

Orang pertama yang menerima dakapan Encik Hafeez adalah ibu tersayang setelah lama memendam rindu dan hanya bersua menerusi online.

"Saya rasa sebak dan sedih sangat. Rasa saya rindu betul-betul rindu. Masa itu saya rasa macam keliru. Betul ke mak saya ini? Saya rasa macam mimpi. Tapi kenyataan. Dari situ saya rasa macam hargai sangat masa yang ada ini," kata Encik Hafeez.

Kejutan tersebut bertambah manis kerana pemuda 24 tahun itu merahsiakan kepulangannya daripada ahli keluarganya, walaupun semasa menjalani kuarantin di sebelah rumah ibu bapanya.

Beliau cukup 'berhati-hati' untuk tidak berbuat bising agar tidak membuat ibu bapanya terperanjat ataupun "terbocor rahsia".

DAHULU ULANG-ALIK SETIAP HARI

Encik Hafeez mula mencari rezeki di Singapura sebagai tukang masak pada 2016 dan dahulu berulang-alik setiap hari.

Namun, dia tidak lagi dapat berbuat demikian sejak pandemik COVID-19 melanda.

Ini juga setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di Malaysia pada 18 Mac 2020.

Bersama majikan lamanya, Encik Hafeez diberikan tempat tinggal sementara terkandas di Singapura.

Namun, memandangkan ianya kali pertama dia bersendirian di seberang tambak, pengalaman itu cukup meninggalkan kesan kepada dirinya.

"Saya rasa sedih dan macam rasa tertekan tapi walau macam mana pun kita yang pilih jalan ini, kita kena hadap dengan hati yang terbuka. Walau macam mana pun saya terpaksa ikutlah sebab itu saja punca saya cari rezeki saya dekat negara jiran," ujar Encik Hafeez.

MAJIKAN BARU LEBIH MEMAHAMI

Sungguhpun begitu, Encik Hafeez cuba untuk pulang ke Malaysia tapi gagal berkali-kali.

Ini sehinggalah dia mendapat kerja dengan kedai makan Encik Tan pada 1 September lalu dan majikan barunya itu lebih fleksibel.

Dengan rasa penuh kesyukuran, Encik Hafeez meluahkan penghargaannya: "Saya berterima kasih dengan majikan saya yang sanggup memberi saya peluang untuk balik untuk berjumpa keluarga."

Dengan bantuan majikannya, Encik Hafeez diberi keizinan untuk pulang ke Malaysia di bawah skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) kira-kira dua minggu selepas dia mula bertugas.

Akhirnya, dia bertolak dari Singapura pada 15 September.

Encik Hafeez diberi cuti hingga 12 November ini dan akan kembali ke Singapura untuk kembali bekerja

Encik Hafeez turut menyatakan majikannya akan menanggung semua kos kuarantin apabila kembali ke Singapura.

"Dekat Malaysia, saya punya komitmen terlalu tinggi untuk saya bekerja di Malaysia. Bukan tak cakap, untuk mencari lebih sebab saya kira tulang belakang keluarga saya sebab mak bapak saya sudah berumur, saya yang diharapkan," kata Encik Hafeez.

Antara kebimbangannya ialah kesihatan ibu bapanya yang masing-masing menghidapi penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis.

Encik Hafeez memberitahu bahawa dia juga mempunyai adik-beradik yang tinggal di luar dan dalam negeri, tapi di kawasan lain.

Misalnya, abangnya tinggal di Australia manakala dua lagi adik beradiknya menetap di Kuala Lumpur dan seorang kakaknya di Johor Bahru.

TUNAIKAN HAJAT YANG TIDAK KESAMPAIAN

Selepas menjalani kuarantin 14 hari di rumahnya, Encik Hafeez merancang untuk mendirikan rumahtangga bersama pasangannya selepas rancangannya itu terpaksa ditundakan tahun lalu.

"Saya akan bernikah 7 Oktober ini. Insya-Allah dipermudahkan. Lepas saya bernikah, saya tak ada ke mana-mana sebab kita takut akan datang masa untuk saya bekerja, takut susah takut saya positif ke apa, itu akan menyusahkan saya juga. Saya pilih untuk duduk dekat rumah untuk lebihkan masa dengan keluarga," kata Encik Hafeez.

Dalam perancangannya, Encik Hafeez berhasrat untuk pulang ke Malaysia sekurang-kurangnya sekali setiap tahun.

Beliau turut berharap situasi COVID-19 di kedua-dua negara bertambah baik supaya pekerja sepertinya dapat pulang ke negara asal setiap hari seperti dahulu.

Sebelum pandemik, seramai 300,000 warga Malaysia berulang alik ke Singapura setiap hari. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan