Warga M'sia, Indonesia alu-alukan pelonggaran sekatan sempadan S'pura; ada masih ragu-ragu untuk pulang
Warga Malaysia dan Indonesia yang tinggal di Singapura mengalu-alukan pelonggaran sekatan perjalanan di negara asal mereka, namun ramai yang masih ragu-ragu untuk menempah tiket pulang kerana masih berdepan cabaran pentadbiran, menurut beberapa penduduk yang ditemui Mediacorp.

(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Warga Malaysia dan Indonesia yang tinggal di Singapura mengalu-alukan pelonggaran sekatan perjalanan di negara asal mereka, namun ramai yang masih ragu-ragu untuk menempah tiket pulang kerana masih berdepan cabaran pentadbiran, menurut beberapa penduduk yang ditemui Mediacorp.
Pada Sabtu lalu (23 Okt), kedua-dua negara itu merupakan antara beberapa destinasi yang dikemas kini kepada Kategori III di bawah senarai langkah sempadan Singapura berdasarkan risiko COVID-19.
Sekatan kuarantin juga dilonggarkan bagi kategori tersebut, dengan pelawat dibenarkan menjalani notis jangan keluar rumah (SHN) di tempat kediaman masing-masing, tanpa perlu ke sebuah kemudahan khas.
"SAYA MENDAMBAKAN PULANG KE M'SIA"
Warga Malaysia di sini begitu "teruja" sebaik sahaja mendengar laporan itu, kata Michelle Ng, anggota pengasas kumpulan sembang Telegram "Malaysians Working in Singapore".
"Saya begitu mendambakan untuk pulang ke sana," kata Cik Ng, 38 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur yang sebelum ini pulang ke Malaysia empat hingga lima kali setahun.
Beliau kini akan menyerahkan permohonan untuk mengatur lawatan dua minggu pada November.
Namun, beliau tetap bimbang.
"Secara jujur, pada ketika ini, apa-apa sahaja boleh berlaku dan kami tidak tahu sama ada peraturan boleh berubah sekali lagi," kata Cik Ng yang kini bekerja dalam industri teknologi kesihatan.
MASIH BERBELAH BAHAGI
Tidak seperti Cik Ng, ramai yang memutuskan untuk tidak pulang ke tanah air mereka kerana cabaran pentadbiran yang rumit.
Bagi warga Malaysia Cik Serene Yap ini termasuk SHN selama 10 hari, meskipun di kediaman sendiri.
"Saya bekerja dalam sektor runcit, jadi tentu sekali saya tidak boleh bekerja dari rumah (semasa tempoh kuarantin). Saya perlu ambil cuti sendiri ... cuti tahunan saya tidak banyak, jadi saya perlu fikirkan caranya."
Cik Yap, 40 tahun, yang mengendalikan sebuah kedai barang emas, sebelum ini pulang ke Johor Bahru setiap hujung minggu untuk melawat bapanya.
"Bapa saya sendiri menasihati saya: 'Anda tidak perlu pulang sekarang. Saya berada dalam keadaan sangat baik.' Dia sendiri, juga berasa tidak selesa apabila keluar rumah kerana penduduk di sana tidak begitu kisah tentang virus itu."
TIADA TEMPAT UNTUK JALANI SHN
Sebaliknya, sesetengah warga Singapura yang tinggal di Malaysia pula keberatan untuk pulang kerana mereka tidak mempunyai tempat tinggal untuk menjalani SHN.
Ini termasuk Encik Jamaludin Abdul Ghani, pesara berusia 58 tahun, yang ingin melawat keluarganya di sini, termasuk dua orang cucu yang belum beliau temui.
Namun katanya: "Anak perempuan saya akan berpindah ke rumah baru dan agak leceh baginya untuk menyediakan tempat bagi saya menjalani kuarantin. Anak-anak saya yang lain tinggal di flat tiga bilik dan juga mempunyai anak, jadi tidak ada tempat untuk saya."
Beliau juga merasakan, kuarantin di rumah agak berisiko. "Cucu-cucu saya masih kecil. Jika mereka terkena virus daripada saya, saya akan menyesalinya seumur hidup."
Syarat menjalani kuarantin selepas pulang ke Malaysia juga merupakan satu lagi cabaran, kerana isterinya menghidap penyakit kronik manakala ibu mertuanya juga sudah lanjut usia. Perbelanjaan untuk menginap di hotel pula menelan belanja yang tinggi, katanya.
"Jadi kita harus bersabar... Tunggu dan lihat, apakah hasil seterusnya (jika peraturan dilonggarkan lagi)," kata Encik Jamaludin yang menetap di Kuala Lumpur.
PULANG KE INDONESIA?
Warga Indonesia yang ditemui Mediacorp juga meluahkan rasa teruja, meskipun mereka belum memutuskan untuk pulang.
Encik Indradi Soemardjan, 46 tahun berkata: "Inilah yang dinanti-nantikan kerana (anak-anak kami) belum berjumpa dengan datuk nenek mereka selama hampir dua tahun."
Khabar itu juga sangat dialu-alukan kerana beliau mengendalikan sebuah perniagaan mengimport biji kopi dari Indonesia. Sebelum pandemik COVID-19, beliau perlu pulang setiap bulan bagi menguruskan logistik dan berjumpa dengan petani.
"Saya sudah berbincang dengan rakan-rakan niaga di Indonesia tentang apa yang akan kami lakukan tiga bulan selepas ini.
"Sebelum ini, ia sangat sukar, seakan tiada harapan.. namun kini, kami berasa lega sedikit," kata Encik Inradii yang mengendalikan kafe Soma Coffee.
Harapannya agar skim Laluan Perjalanan Penumpang yang Sudah Divaksin (VTL) dimulakan dengan Indonesia bagi membolehkan perjalanan bebas kuarantin. Ini akan merangsang pelancongan perubatan tempatan, yang popular dalam kalangan warga Indonesia, kata Encik Indradi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.