Warga M'sia berstatus PR S'pura kini boleh mohon PCA untuk pulang
Warga Malaysia yang berstatus Penduduk Tetap (PR) Singapura yang bekerja di negara ini kini layak memohon skim Aturan Perjalanan Berkala (PCA).

(Gambar: BERITAmediacorp/Rosli Razak)
SINGAPURA: Warga Malaysia yang berstatus Penduduk Tetap (PR) Singapura yang bekerja di negara ini kini layak memohon skim Aturan Perjalanan Berkala (PCA).
Permohonan untuk melakukan perjalanan di bawah skim itu dibuka mulai Isnin (11 Jan), menurut Suruhanjaya Tinggi Malaysia pada Jumaat lalu.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) juga sudah mengemas kini laman SafeTravel pada Isnin dengan perincian mengenai skim tersebut.
"Kemasukan kategori pekerja ini dalam skim PCA akan membolehkan lebih ramai pekerja warga Malaysia di Singapura untuk memohon cuti jangka pendek setelah bekerja di Singapura selama sekurang-kurangnya 90 hari berturut-turut," jelas Suruhanjaya Tinggi Malaysia dalam catatan Facebooknya.
Sebelum ini, PCA hanya dibuka untuk rakyat Singapura dan Malaysia yang memegang pas imigresen jangka panjang di negara satu sama lain.
Menurut laman jabatan imigresen Malaysia, para pelawat PCA yang memasuki negara itu perlu menjalani Tempoh Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) selama tujuh hari dan menjalani ujian COVID-19.
Semua pelawat PCA, kecuali Penduduk Tetap (PR) Singapura, yang tiba di Singapura mesti menjalani ujian tindak balas rantai polimerase COVID-19 dalam tempoh 72 jam sebelum melakukan perjalanan, menurut laman web ICA.
Para pelawat perlu menyerahkan hasil ujian yang negatif COVID-19 dalam Bahasa Inggeris dari makmal bertauliah atau yang diiktiraf di Malaysia.
Setelah memasuki Singapura, semua pelawat PCA, termasuk PR Singapura, dikehendaki menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama 14 hari di sebuah kemudahan khas. Mereka juga diperlukan menjalani satu lagi ujian swab COVID-sebelum mereka dibenarkan meninggalkan kemudahan tersebut.
Semasa di Singapura, mereka mesti mematuhi syarat-syarat dan peraturan kesihatan awam negara ini dan langkah-langkah jarak selamat dan menggunakan aplikasi seperti TraceTogether, menurut ICA.
Para pelawat PCA hanya boleh masuk atau keluar melalui dua pusat pemeriksaan darat di Woodlands dan Tuas.
Para pelawat yang mengalami simptom COVID-19 dalam tempoh 14 hari selepas memasuki Singapura perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan perbelanjaannya ditanggung sendiri atau oleh majikan mereka. Sekiranya gejala dikesan selepas 14 hari mereka pulang ke Singapura, kos rawatan mereka akan dibiayai oleh Pemerintah Singapura, jelas ICA.
Syarikat-syarikat yang berpangkalan di Singapura yang ingin membiayai permohonan PCA untuk pekerja mereka juga boleh berbuat demikian secara online.
Lebih banyak perincian mengenai PCA boleh didapatkan di laman ICA atau laman jabatan imigresen Malaysia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.