Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga M'sia bekerja di S'pura di bawah PCA dapati pilihan rumah sewa terhad

"Harga-harga yang disebut jauh lebih tinggi daripada yang saya peruntukkan," kata Cik Norashikin Rahman, warga M'sia yang bekerja di S'pura.

Anggaran Waktu Membaca:
Warga M'sia bekerja di S'pura di bawah PCA dapati pilihan rumah sewa terhad

Gambar fail. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 21 Aug 2020 11:32PM Dikemas Kini : 21 Aug 2020 11:37PM

SINGAPURA: Cik Norashikin Rahman berasa bimbang beliau mungkin tidak mempunyai tempat tinggal bulan depan.

Warga Malaysia berusia 29 tahun itu, yang tinggal di Johor Bahru, dijadualkan memasuki Singapura menerusi skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) pada 1 Sep. Skim itu membenarkannya untuk menyambung semula kerja di syarikat pengeluaran cip komputer di bahagian timur laut Singapura.

Di bawah PCA, beliau akan menjalani notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik sahaja tiba di Singapura, di sebuah kemudahan yang dibiayai oleh syarikatnya, dan menjalani ujian swab COVID-19.

Setelah beliau tamat menjalani tempoh SHN dan diuji negatif COVID-19, Cik Norashikin akan perlu berpindah ke sebuah tempat penginapan.

Ibu kepada dua anak itu sudah berminggu-minggu berusaha untuk mendapatkan bilik yang sesuai berdekatan dengan tempat kerjanya dan dalam kemampuannya, namun belum berhasil.

"Bajet saya hanya S$300, tetapi untuk bilik-bilik di Yishun, harga sewa yang ditawarkan kepada saya sekurang-kurangnya S$650.

"Harga-harga yang disebut jauh lebih tinggi daripada yang saya peruntukkan. Saya tidak akan ada cukup wang untuk keluarga saya atau perbelanjaan harian saya di Singapura," katanya apabila diwawancara oleh Mediacorp.

Cik Norashikin ialah salah seorang daripada ramai warga Malaysia yang kembali ke Singapura untuk menyambung semula kerja di bawah skim PCA, tetapi sedang menghadapi masalah untuk mencari rumah yang sesuai dalam masa singkat, pada harga yang sesuai dan bagi tempoh penyewaan jangka pendek.

Ada di antara mereka menggunakan kumpulan media sosial untuk mencari tempat sewa dan berhubung dengan warga Malaysia lain yang mencari bilik sewa di kawasan sama.

Misalnya, kumpulan Facebook Bilik Sewa Singapore (Malaysian), atau bilik-bilik untuk disewakan di Singapura bagi warga Malaysia, dibanjiri banyak kiriman beberapa minggu kebelakangan ini, dengan ramai mencari rakan sebilik dan pemilik yang menawarkan bilik sewa.

Meskipun terdapat pilihan, Cik Norashikin berkata ramai pemilik rumah mencari penyewa yang boleh menyewa antara enam bulan hingga setahun.

Beliau tidak sanggup melakukan demikian kerana beliau merancang untuk pulang selepas tiga bulan. Oleh itu, beliau berharap bahawa kedua-dua pemerintah boleh mencari huraian untuk membenarkan semula perjalanan ulang-alik harian merentasi sempadan.

"Untuk jangka masa lama, saya tidak fikir saya akan terus menyewa di sini. Penting untuk saya berada dekat dengan anak dan keluarga saya dan melihat mereka setiap hari," katanya. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/NA/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan