Warga M'sia Ali Jais ditemui sihat di rumah jagaan warga tua di S'pura
"Kami dah jumpa abah."
(Gambar: Bernama)
SINGAPURA: "Kami dah jumpa abah."
Pencarian tiga anak kandung Encik Ali Jais, warga Malaysia yang kali terakhir diketahui berada di Singapura kira-kira 20 tahun lalu, berakhir kurang 24 jam selepas berita berkaitan bapa mereka dilaporkan.
Encik Ali, 84 tahun, dan anak-anaknya terpisah sejak 20 tahun yang lalu dan menurut anak sulungnya, Cik Hasliza, bapanya berada di sebuah rumah jagaan warga emas di sini.
"Alhamdulillah abah sihat. Saya dimaklumkan abah ingat semua nama anak-anak. Apabila ditanya nama-nama anak semuanya betul," kata Cik Hasliza yang menghubungi Bernama untuk menyampaikan berita gembira itu.
Dalam laporan sebelum ini, anak-anaknya yakin Encik Ali masih berada di Singapura berdasarkan semakan di Jabatan Imigresen Malaysia beberapa tahun lalu.
Mengulas lanjut, Cik Hasliza, 41 tahun berkata mereka dimaklumkan tentang keberadaan bapa mereka oleh seorang individu yang menghubungi adiknya, Cik Khazimah melalui aplikasi WhatsApp tengah hari tadi (16 Nov).
Katanya beliau kemudian menghubungi rumah jagaan itu yang mengesahkan identiti bapanya menerusi salinan kad pengenalan yang ada dalam simpanannya.
"Menurut pusat jagaan, abah ingat pada anak-anak cuma tidak tahu bagaimana untuk menghubungi kami," katanya dalam tangis gembira.
Rayuan mengenai pencarian Encik Ali dibuat oleh anak bongsunya Cik Khazimah, 37 tahun, dan turut dikongsi di laman Facebook Malaysia-Singapore Border Crossers yang kini mempunyai kira-kira 72,000 anggota.
Satu-satunya gambar bapanya yang ada dalam simpanan turut disertakan dalam perkongsian itu.
“Seorang hamba Allah telah memaklumkan kepada saya awal tengah hari tadi menerusi WhatsApp tentang keberadaan abah. Saya maklumkan kepada kakak sulung yang segera menghubungi pusat jagaan tersebut,” kata Cik Khazimah.
Anak bongsu Encik Ali itu amat berharap dapat menyambut Aidilfitri bersama bapanya buat kali pertama dalam hidupnya pada tahun depan.
Laporan berkaitan: Anak cari warga Malaysia di Singapura Ali Jais yang terpisah 20 tahun
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.