Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga kaya China borong rumah mewah di Singapura meski cukai dinaikkan

Anggaran Waktu Membaca:
Warga kaya China borong rumah mewah di Singapura meski cukai dinaikkan

(Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)

Diterbitkan : 06 Oct 2022 10:03PM Dikemas Kini : 06 Oct 2022 10:03PM

SINGAPURA: Orang-orang kaya China merupakan pembeli asing utama hartanah mewah di Singapura tahun ini, meskipun dengan kadar cukai yang lebih tinggi.

Pelonggaran sekatan sempadan akibat COVID-19 dan mata wang agak kukuh memudahkan golongan kaya China mencari hartanah untuk dibeli.
 
Sekitar 20 peratus daripada 425 unit mewah yang dijual dari Januari hingga Ogos tahun ini dibeli oleh warga China dengan setiap hartanah itu dianggarkan bernilai lebih S$5 juta (AS$3.52 juta). Ini disusuli dengan 34 unit dibeli oleh warga Amerika dan 28 unit oleh warga Indonesia.

Sejak sekian lama, Singapura berjaya  menarik golongan hartawan ke negara disebabkan politik yang stabil, mata wang kukuh, serta reputasi sebagai tempat yang selamat untuk menyimpan aset, menurut penganalisis hartanah.

Harga hartanah di Singapura juga lebih cenderung meningkat secara beransur-ansur, berbanding pasaran popular lain.

Sementara itu, China sedang menghadapi krisis hartanah, dengan jualan yang merosot dan pemaju gagal membayar hutang, serta keyakinan pengguna yang terjejas disebabkan sekatan pergerakan COVID-19 yang berulang kali dilaksanakan.

Secara keseluruhannya, jumlah unit mewah yang dijual kepada warga asing di Singapura pada lapan bulan pertama tahun ini - termasuk penduduk tetap -  melebihi 282 unit yang dijual pada tempoh yang sama sebelum pandemik pada 2019 dan 322 pada 2018.

Data daripada Penguasa Pembangunan Semula Bandar dan syarikat perundingan hartanah OrangeTee & Tie, menunjukkan bahawa hartanah di Singapura kekal popular dalam kalangan warga asing meskipun Pemerintah menaikkan cukai bagi pembelian pada Disember lalu.

Dalam usaha untuk mengawal pasaran hartanah privet, cukai setem bagi warga asing dinaikkan daripada 20 peratus kepada 30 peratus.

Pun begitu, 143 apartmen mewah dijual kepada warga asing dari Januari hingga Ogos tahun ini - lebih tinggi daripada 136 yang dijual pada tempoh yang sama sebelum pandemik pada 2019.

Dalam satu pembelian borong pada Jun, seorang warga China membayar lebih S$85 juta bagi 20 unit baru di kawasan tengah Singapura, manakala seorang lagi pembeli warga China membayar sekitar S$60 juta bagi empat unit.

Di pihak negara ini sendiri, Singapura secara aktif berusaha untuk menarik golongan hartawan dengan memberikan insentif cukai kepada pejabat keluarga - entiti yang diwujudkan oleh  keluarga kaya untuk mengurus wang mereka - dan memberi visa kepada mereka yang mempunyai pendapatan lebih S$30,000 sebulan.

Jumlah pejabat keluarga meningkat daripada 400 pada hujung 2020 kepada 700 pada tahun lalu. Mereka termasuk hartawan berprofil tinggi seperti Liang Xinjun, mantan pengasas bersama firma pelaburan China, Fosun International.

Menurut Nicholas Mak, Ketua Kajian dan Perundingan di ERA Realty Network, warga China dan Malaysia merupakan dua pembeli terbesar hartanah Singapura sebelum pandemik.

Sumber : CNA/AE/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa