Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga Kanada yang rompak StanChart tidak akan dirotan; jaminan diberi kepada Britain bagi ekstradisi ke Singapura

Warga Kanada, David James Roach, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan enam sebatan kerana merompak lebih S$30,000 daripada Bank Standard Chartered, pada 2016. Namun, dia tidak akan dikenakan hukuman sebatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Warga Kanada yang rompak StanChart tidak akan dirotan; jaminan diberi kepada Britain bagi ekstradisi ke Singapura

(Gambar: SPF)

Diterbitkan : 25 Jul 2021 04:32PM Dikemas Kini : 25 Jul 2021 04:33PM

SINGAPURA: Warga Kanada, David James Roach, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan enam sebatan kerana merompak lebih S$30,000 daripada Bank Standard Chartered, pada 2016. Namun, dia tidak akan dikenakan hukuman sebatan.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan pada Ahad (25 Jul), hukuman rotan itu diketepikan pada Sabtu kerana Pemerintah Singapura telah memberi jaminan kepada Britain bahawa sebarang hukuman fisikal ke atasnya tidak akan dijalankan bagi mendapatkan ekstradisi Roach.

Tiada hukuman alternatif akan dikenakan terhadap Roach bagi menggantikan hukuman sebat itu, tambah MHA.

Warga Kanada itu yang kini berusia 31 tahun, melarikan diri ke Thailand setelah merompak sebanyak S$30,450 dari cawangan bank Standard Chartered di Holland Village pada 7 Julai 2016.

Dia ditahan di Thailand dan dihantar pulang ke Kanada pada 2018, namun dia ditahan oleh polis Britain ketika dalam persinggahan setelah Singapura membuat permohonan untuk memberkasnya.

Sebagai sebahagian daripada prosiding ekstradisi tersebut, Pemerintah Singapura bersetuju dengan pihak berkuasa UK bahawa tiada hukuman korporal akan dijalankan ke atas Roach.

Pada 7 Julai lalu, Roach dihukum penjara lima tahun dan disebat enam kali di Singapura.

Presiden Halimah Yacob, atas nasihat Kabinet, menggunakan kuasanya di bawah Perlembagaan untuk ketepikan hukuman sebat terhadap Roach, menurut MHA pada Ahad.

"Pemerintah Singapura memenuhi jaminan yang diberikan kepada Kerajaan UK," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan media.

MHA juga menyatakan bahawa jaminan kepada UK itu "perlu" kerana negara itu "tidak akan meluluskan ekstradi tersebut".

"Membawa Roach kembali ke Singapura untuk dihadapkan ke muka keadilan atas jenayah yang dilakukannya adalah keutamaan kami.

"Pemerintah Singapura akan melakukan apa jua yang perlu dan dibenarkan di bawah rangka undang-undang kami untuk membawa ke muka keadilan mereka yang melakukan kesalahan di Singapura, tidak kira kerakyatan dan ke mana mereka mungkin melarikan diri," menurut MHA.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan