Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga emas perlu dididik celik digital agar tidak 'terasing' - Dr Maliki

Warga emas perlu dididik supaya celik digital demi tidak menjadi "terasing" dalam kehidupan hari ini yang pesat teknologi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Warga emas perlu dididik supaya celik digital demi tidak menjadi "terasing" dalam kehidupan hari ini yang pesat teknologi.

Demikian tekan Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohamad Maliki Osman semasa meninjau-ninjau program Jom Surf! bagi warga emas anjuran MESRA Persatuan Rakyat (PA) hari ini (26 Feb).

MESRA menyatakan, siri bengkel tersebut berjaya mendekati hampir 100 warga emas dari empat kawasan setakat ini.

DR MALIKI: WARGA SENJA KITA MASIH KURANG FASIH DUNIA SIBER

Walaupun penggunaan dan kecelikan digital kini boleh dianggap sebagai keperluan asas dalam kehidupan di Singapura, hakikatnya masih ada yang sedang ketinggalan - khususnya golongan warga emas.

Jadi demi merapatkan jurang digital itu, bengkel Jom Surf! diadakan bagi berkongsi pelbagai ilmu digital kepada golongan warga senja.

Antara yang mula dipelajari warga emas yang menghadiri bengkel digital Jom Surf! di Kelab Masyarakat Kolam Ayer adalah cara membuka akaun emel, menebus baucar CDC, mengakses SingPass serta membuat panggilan Zoom.

Acara anjuran MESRA itu bertujuan menangani kebimbangan warga senja yang tidak celik digital serta menggalak mereka untuk menyertai kelas-kelas mengenai pendigitalan.

Usaha-usaha sebegini dilihat lebih genting lagi sedang baru-baru ini sekitar 800 pelanggan OCBC dilapor menjadi mangsa penipuan online.

Sementara itu satu kajian Institut Kajian Dasar (IPS) yang didedahkan lebih setahun lalu pula mendapati, lebih dua pertiga penduduk Singapura - khususnya warga emas - kurang berupaya membezakan antara berita palsu dengan yang sahih. Ini semestinya membimbangkan.

Demi memahami situasi tersebut, Penasihat MESRA yang juga Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman, turun padang untuk bersama warga senja yang mengikuti bengkel Jom Surf! itu.

"Kita tahu zaman hari ini merupakan zaman di mana situasi pendigitalan begitu penting sekali kerana teknologi sudah semakin selaras dengan kehidupan hari ini. Kita tahu warga senja kita masih kurang fasih dalam suasana dunia siber kerana ini bukan suasana mereka. Tetapi apa yang kita inginkan adalah supaya diri mereka tidak terasing," kata Dr Maliki kepada media kemudian.

KESELAMATAN SIBER MENJADI KEPRIHATINAN WARGA EMAS

Menurut Dr Maliki lagi ramai peserta warga emas di bengkel itu ternyata "begitu prihatin tentang keselamatan siber."

"Mereka bertanya bagaimana mereka perlu dan memastikan bahawa mereka tidak menjadi mangsa penipuan. Mereka tahu ini satu isu penting hari ini dan mereka datang hari ini untuk mempelajari bagaimana mereka boleh meningkatkan benteng mereka daripada menjadi mangsa penipuan," kongsi beliau.

Antara peserta bengkel Jom Surf! adalah Encik Abdul Rashid Ismail, 57 tahun.

Beliau yang kini tidak bekerja dan pernah bekerja dalam sektor reka bentuk, antara lain akur bahawa menerusi bengkel itu beliau belajar cara-cara mengesan penipuan selain tindakan yang perlu diambil sekiranya berdepan dengan penipuan.

"Bagi saya acara sebegini penting. Malahan saya pun pernah jadi mangsa penipuan.

"Memang perlu untuk tahu terutama sekali warga emas, apabila kita tidak faham kalau apa yang kita terima itu penipuan atau asli," kata Encik Rashid, yang sudah tidak bekerja selama dua tahun.

Seorang lagi peserta bengkel Jom Surf! ialah Encik Mohd Hanafi Malek, 65 tahun, mantan pegawai teknikal.

Pesara sejak dua tahun itu berkata: "Keselamatan siber ini perlukan pengetahuan. Kalau tidak kita tak tahu pun apa keselamatan siber.

"Macam orang sekarang kalau guna telefon picit sana picit sini. Keselamatan siber ini ada langkahnya. Jadi kita tahu 'Oh jangan tekan ini kalau orang SMS'."

Acara Jom Surf! ini diadakan MESRA dengan kerjasama Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Masjid Haji Mohd Salleh.

Bulan depan ia akan diadakan di Kelab Masyarakat Boon Lay pula.

Dalam sesi itu nanti warga tua antara lain akan turut diajar bagaimana membayar zakat secara online.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan