Warga emas kini boleh akses lebih 200 khidmat pemerintah
Ia sebahagian daripada program rintis yang dilancarkan bulan lalu di Perpustakaan Geylang East bagi menggalak warga emas mendakapi pendigitalan.
SINGAPURA: Warga emas kini boleh mengakses lebih 200 khidmat pemerintah seperti Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan SkillsFuture dengan lebih mudah menerusi kios-kios digital.
Ia sebahagian daripada program rintis yang dilancarkan bulan lalu di Perpustakaan Geylang East bagi menggalak warga emas mendakapi pendigitalan.
Siti Hajar, 64 tahun menggunakan kios digital sedemikian untuk mencari kelas-kelas memasak yang ditawarkan SkillsFuture.
Beliau juga membuat pencalonan CPF menerusi portal sehenti dan mendapatinya mudah untuk digunakan.
"Kalau kita ada masalah kita boleh berjumpa dengan duta-dutanya di sini. Senang untuk saya, gunakan kemudahan yang ada di sini.
"Saya harap SDO (Pejabat Digital SG) di sini akan dibuat di tempat saya di Tampines," ujar beliau.
Bagi permintaan lebih rumit, warga emas boleh membuat temu janji secara maya dengan agensi-agensi pemerintah seperti CPF.
Seperti di 24 perpustakaan yang lain, Perpustakaan Geylang East merupakan hab masyarakat bagi mengajar kemahiran digital asas kepada warga emas.
Mereka boleh mempelajari cara-cara menggunakan aplikasi seperti WhatsApp atau SingPass.
Sejauh ini, Pejabat Digital SG sudah berjaya melatih lebih 50,000 warga emas dan matlamatnya untuk mendampingi 100,000 peserta menjelang Mac depan.
Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran berkata: "Tujuan kami adalah meluaskan dan mendalamkan lagi bagaimana perkhidmatan digital boleh digunakan oleh masyarakat kita, terutama sekali warga emas.
"Tugas digital kami untuk menghubungi, mendekati berbagai-bagai kalangan dalam masyarakat kita. Saya rasa ini adalah satu kemajuan yang baik. Tetapi mesti terus bekerja, berusaha untuk mencapai semua tujuan kami.
"Itulah sebabnya kerjasama antara bukan sahaja pemerintah tetapi dengan badan-badan akar umbi dan juga syarikat-syarikat amat penting."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.