Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga emas digesa kekal aktif; tingkatkan kemahiran dan terus sumbang kepada masyarakat

Jadikan kehidupan dalam usia senja lebih bermakna. Dengan pengalaman mereka yang luas, masih banyak lagi yang dapat warga emas sumbangkan kepada masyarakat dan negara.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jadikan kehidupan dalam usia senja lebih bermakna.

Dengan pengalaman mereka yang luas, masih banyak lagi yang dapat warga emas sumbangkan kepada masyarakat dan negara.

Maka itu, golongan itu digesa untuk kekal aktif, berhubung secara sosial dan mempertingkatkan kemahiran mereka agar terus berdaya saing dalam arus kemodenan.

Demikian gesaan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, Masagos Zulkifli menyusuli perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) bagi kedua-dua kementerian itu.

Pemerintah telah memperuntukkan lebih S$3.5 bilion untuk program Sihat Menua SG.

Inisiatif itu termasuk rangkaian Pusat Penuaan Aktif (AAC) yang diperluas serta lebih banyak pilihan kemudahan mesra warga tua.

Namun, yang lebih penting, kata Encik Masagos, adalah bagi warga emas untuk menua secara aktif dan terus menyumbang kepada masyarakat.

Pengalaman golongan itu cukup berharga kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

"Sebagai warga emas, kita jangan memikirkan bahawa kita sudah tidak berguna lagi. Padahal kita mempunyai pengalaman pendidikan yang boleh dimanfaatkan untuk masyarakat yang lebih muda dari kita. Tapi juga kita perlu untuk mengemaskini kemahiran kita. Jadi, sebab itulah kita perlu juga menjalani kursus-kursus yang sekarang ini dibiayai oleh SkillsFuture umpamanya.

"Dengan adanya lebih pengetahuan atau kita setaraf dengan pengetahuan yang lebih muda, kita boleh memberikan jasa kita sebagai sukarelawan. Bukan hanya untuk mereka yang sama tua dengan kita tapi juga untuk masyarakat," kata Encik Masagos kepada wartawan Syawal Yusoff.

Di bawah Sihat Menua SG juga, rangkaian dan perkhidmatan bagi warga tua yang ditawarkan Pusat Penuaan Aktif (AAC) akan dipertingkatkan.

Encik Masagos berharap ia akan dimanfaatkan warga emas Melayu/Islam.

"Mungkin kesepian itu akan menyebabkan mereka lebih kerap jatuh sakit, kemurungan dan sebagainya. Tapi dengan adanya pergaulan dengan masyarakat, ini akan memberikan kepelbagaian hidup mereka dan menariknya hidup untuk terus hidup. Itu adalah satu tujuan supaya kita tidak hanya memikirkan soal akhir hayat kita saja," kata Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam.

SOKONGAN BUAT PENGASUH

Encik Masagos turut meluahkan keprihatinan beliau terhadap golongan pengasuh dan usaha-usaha untuk memberikan lebih sokongan kepada golongan itu.

Menerusi program 'HPC+' iaitu satu skim penjagaan di rumah, warga emas akan dibantu untuk melakukan aktiviti-aktiviti seharian mereka serta khidmat mengemas rumah.

Setakat Januari 2024, lebih 328 klien sudahpun menyertai program perintis itu.

"Kita akan mengembangkannya untuk memberikan khidmat yang lebih fleksibel. Antara lain boleh dipanggil apabila perlu menggunakan teknologi dan juga atau tidak yang lebih kerap daripada yang ada sekarang ini. Cuma sekarang ini adalah sebagai satu percubaan dilakukan di 11 kawasan dan akan dikembangkan kalau ia berjaya dan dapat ditampung dengan kos yang yang boleh ditanggung oleh masyarakat dan juga pemerintah," kata beliau.


(Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Menteri Kedua Kesihatan Masagos Zulkifli)

KHIDMAT ASUHAN BAYI BANTU RINGANKAN KOS BAGI IBU BAPA

Encik Masagos juga menyentuh tentang pelbagai sokongan untuk ibu bapa bagi menyokong pendidikan awal kanak-kanak menerusi pelbagai skim yang diumumkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Ini termasuk projek perintis tiga tahun khidmat asuh bayi yang berusia dua bulan hingga 18 bulan.

"Ini adalah satu cara di mana tidak ramai bayi yang perlu dijaga dan pendapatannya adalah di rumah penjaga tersebut ataupun di tempat-tempat masyarakat seperti Pusat Rangkaian Penduduk dan sebagainya. Jadi ini adalah satu percubaan. Tapi yang penting adalah biaya kos daripada ibu bapa tersebut akan sama. Apakah di pusat penjagaan yang ramai bayi tersebut ataupun di rumah perseorangan yang hanya menjaga tiga bayi atau mungkin sedikit lebih dari itu," kata Encik Masagos yang merupakan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.

Mengenai skim ComLink+ pula, yang akan diperluaskan untuk keluarga bergaji rendah.

Selain akan meraih manfaat daripada sokongan pembimbing keluarga, setiap keluarga juga akan dibantu dari segi pembiayaan hutang, mendapatkan rumah, serta pendidikan awal anak-anak mereka.

Encik Masagos berkata beliau berbesar hati dengan sokongan karyawan Melayu/Islam kepada usaha-usaha program-program yang telah dibangunkan termasuk Projek Dian@M³.

Sejauh ini, lebih 850 karyawan sudahpun tampil untuk menghulurkan bantuan di 11 bandar-bandar M³.

"Karyawan-karyawan kami nanti akan mendampingi program ComLink tersebut, Dian untuk masyarakat Melayu-Islam dan saya harap dengan adanya dana, program lebih teratur, lebih ramai lagi karyawan mahu ke depan kerana sokongan mereka itu akan memberikan kesan yang sangat positif kepada golongan yang memerlukan," tambahnya.

Lebih 250 keluarga Melayu ComLink+.sudahpun dibantu melalui Projek Dian@M³.

PENDIDIKAN PRASEKOLAH BERSUBSIDI LANGKAH JANGKA PANJANG JAMIN MASA HADAPAN ANAK

Encik Masagos turut menyentuh tentang pelbagai sokongan untuk ibu bapa yang menyokong pendidikan awal kanak-kanak mereka.

"Mereka yang bergaji hingga S$6,000, mereka hanya perlu membayar yuran sebanyak S$85 sebulan dan ini adalah lebih rendah daripada tahap maksimum yuran yang diberikan kepada umum iaitu S$640.

"Jadi yuran sangat rendah dan kami harap ibu bapa masukkan anak mereka kepada prasekolah selama tiga tahun dan juga kita tahu bahawa dengan adanya CDA, tokokan dari CDA itu dapat digunakan untuk yuran prasekolah," kata Encik Masagos.

Selain meringankan kos bagi ibu bapa, langkah sedemikian juga usaha jangka panjang untuk membantu membina masa hadapan anak-anak.

"Kalau mereka hadir dengan sempurna, mereka akan mendapat tokokan dalam tabungan CDA mereka dan kerana mereka sudah pun mendapat yuran subsidi yang besar, CDA tersebut begitu banyak dan dapat digunakan nanti untuk anak mereka apabila mereka masuk ke politeknik, ITE ataupun ke universiti nanti," ujar Encik Masagos.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan