Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga emas cedera selepas terjatuh dalam bas 187; SMRT bantu siasatan polis

Pengendali pengangkutan awam SMRT sedang bekerjasama dalam siasatan polis selepas seorang penumpang warga emas cedera setelah beliau terjatuh dalam salah sebuah bas.

Anggaran Waktu Membaca:
Warga emas cedera selepas terjatuh dalam bas 187; SMRT bantu siasatan polis

(Gambar: Pembaca CNA)

Diterbitkan : 23 Jan 2025 06:24PM Dikemas Kini : 23 Jan 2025 06:25PM
SINGAPURA: Pengendali pengangkutan awam SMRT sedang bekerjasama dalam siasatan polis selepas seorang penumpang warga emas cedera setelah beliau terjatuh dalam salah sebuah bas.

Kejadian itu berlaku pada Jumaat lalu (17 Jan) pada kira-kira pukul 7.20 malam apabila Encik Othman Ahmad, 65 tahun, sedang dalam perjalanan pulang menaiki khidmat bas 187 berdekatan Bukit Batok Central.

Encik Othman berkata bas "itu secara tiba-tiba bergerak dengan laju" sebelum ia berhenti dengan mendadak, menyebabkan beliau hilang imbangan.

"Saya cuba berpaut pada tiang, tetapi saya tidak sempat lalu saya terjatuh dan segala-galanya menjadi gelap buat seketika," kata Encik Othman yang bekerja dalam sektor logistik.

"Saya terdengar seseorang katakan supaya ambil tisu, dan saya juga terdengar beberapa (orang penumpang) menyuruh pemandu bas supaya berhenti... Darah saya mengalir dalam bas," katanya.

Menurut Encik Othman, bas itu kemudian berhenti dan sebuah ambulans tiba tidak lama kemudian.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mengesahkan ia menerima panggilan bantuan.

Para anggota paramedik membawa Encik Othman ke Hospital Besar Ng Teng Fong di mana luka pada kepalanya - di atas mata kanannya - dijahit.

Encik Othman berkata beliau dibenarkan pulang dari hospital beberapa jam kemudian dan dikenakan bayaran perubatan sebanyak S$154.

Namun, beliau masih mengalami simptom seperti sakit kepala dan penglihatan kurang jelas pada mata kanannya, beberapa hari selepas kejadian itu berlaku.

Walaupun dengan kecederaan yang dialami, beliau tetap bekerja pada Isnin tanpa memaklumkan mengenai kejadian itu kepada majikannya.

"Ia pekerjaan kontrak... sebaik sahaja saya (beritahu mereka mengenai kejadian itu), mereka mungkin akan henti mengambil saya bekerja, jadi saya tidak berani,"jelasnya.

Encik Othman juga membuat aduan polis sehari selepas kejadian itu berlaku, di mana polis mengesahkan pihaknya telah menerima aduan tersebut.

Beliau cuba menghubungi SMRT untuk mendapatkan pampasan namun tidak dapat menghubungi kakitangannya.

TIADA KECEDERAAN LAIN DILAPORKAN: SMRT

Menjawab pertanyaan oleh Mediacorp, SMRT menyatakan bas itu sedang bergerak dari sebuah perhentian bas dekat Bukit Batok Central apabila seorang penumpang warga emas "terlepas genggamannya pada tiang lalu terjatuh".

"Tiada kecederaan lain dilaporkan dalam kalangan penumpang lain yang menaiki bas tersebut," kata timbalan pengarah pengurusan bas Vincent Gay.

Beliau menambah pemandu bas tersebut memberi bantuan segera kepada Encik Othman dan menemaninya sehingga ambulans tiba.

"Memandangkan penumpang itu tidak memberikan butiran peribadinya, pasukan penjagaan SMRT hanya dapat menghubunginya selepas kawannya menghubungi talian kami pada 22 Januari lalu," katanya.

Encik Othman mengesahkan bahawa kakitangan SMRT telah menghubunginya untuk memulakan proses bayaran pampasan bagi bil perubatannya.

SMRT juga menekankan kepentingan keselamatan penumpang dalam bas.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan