Warga emas berpeluang kenali budaya lain, resipi lebih sihat dan jadi sukarelawan menerusi masakan
Bagi menggalak tabiat pemakanan yang lebih sihat di kalangan warga emas, program demonstrasi memasak oleh Pusat Penuaan Aktif (AAC) Montfort Care Goodlife! Makan diperluaskan.
SINGAPURA: Bagi menggalak tabiat pemakanan yang lebih sihat di kalangan warga emas, program demonstrasi memasak oleh Pusat Penuaan Aktif (AAC) Montfort Care Goodlife! Makan diperluaskan.
Kini mereka melibatkan warga emas sendiri yang sudah menjalani latihan untuk berkongsi resipi dan menyediakan hidangan untuk diberi percuma kepada warga emas lain di estet perumahan sewa.
Setiap minggu, sekitar 20 warga emas yang tinggal di flat-flat sewa di kawasan Marine Parade berpeluang mempelajari resipi-resipi tradisional dan moden yang menggunakan bahan-bahan lebih sihat.
“Salah satu perkara paling penting untuk menyangkal tanggapan warga emas di mana masakan sihat boleh dianggap mahal. Kami belajar perkara-perkara menarik seperti Nasi Goreng Epal di mana epal digunakan sebagai gula. Jadi ini adalah sesuatu elemen yang menyeronokkan di samping memperkenalkan masakan berkhasiat kepada mereka juga,” kata Eksekutif Program Kanan, Montfort Care (GoodLife! Makan), Ong Boon Cheng.
MASAKAN JADI WADAH KENALI BUDAYA LAIN
Para peserta dapat belajar sekurang-kurangya dua resipi dalam setiap sesi sepanjang satu jam.
Selain dapat mempelajari resipi lebih sihat, para peserta berbilang kaum juga dapat belajar masakan tradisional satu sama lain.
(Gambar: Syawal Yusoff)
“Kami juga menggalak elemen silang belajar. Misalnya program ‘Masak-Masak’ iaitu program yang popular dan amat digemari di kalangan masyarakat Melayu, turut disertai oleh ramai warga emas Cina. Warga emas Cina itu juga mahu mempelajari resipi-resipi Melayu dan membawa pulang kepada masyarakat mereka,” ujar Cik Ong.
Bagi menghormati masyarakat berbilang kaum, pusat itu juga mempunyai dua dapur berasingan untuk menyediakan makanan halal dan tidak halal.
Setiap hari juga, sekitar 50 warga emas menerima hidangan makanan tengah hari percuma yang dimasak oleh para relawan di situ.
Cik Ong menambah, “Saya ingat apabila cef-cef Cina kami menyediakan ‘Ngoh Hiang Ayam’. Mereka mengubah resipi sepenuhnya untuk disesuaikan kepada resipi halal supaya warga emas Melayu juga boleh menikmati hidangan Cina.”
Lebih menarik lagi, 'cef' yang mengajar mereka juga merupakan antara anggota pusat tersebut.
Pusat tersebut telah menghantar sekitar 40 warga emasnya untuk menghadiri sebuah kursus memasak privet.
Menurut Cik Ong, dengan memberikan tanggungjawab untuk mengendalikan demonstrasi sebegitu, ia dapat menggalak semangat kesukarelawan di kalangan warga emas yang lain.
(Gambar: Syawal Yusoff)
“Kami sebenarnya menggalak konsep ‘belajar dan beri semula’. Jadi apabila warga emas ini keluar untuk menjalani latihan memasak, membuat pencuci mulut atau minuman, apabila mereka kembali, ianya akan dikongsi bersama kumpulan-kumpulan kecil.
"Kami menggalak lebih ramai warga emas. Saya rasa kesukarelawanan warga emas memainkan peranan penting apabila 40 warga emas itu keluar dan membuktikan kepada warga emas yang lain 'Jika saya boleh lakukan, kenapa anda tidak boleh?'" ujar Cik Ong.
MAHU JADI INSPIRASI BUAT WARGA EMAS LAIN
Semangat untuk berkongsi pengetahuan bersama teman-teman yang lain di pusat AAC itu antara sebab Cik Sapiah Salleh, 69 tahun mengikuti kursus memasak yang ditawarkan.
Selepas menjalani tiga sesi kursus sejak Jun lalu, beliau kini lebih berkeyakinan untuk mengendalikan demonstrasi memasak demi kesihatan.
"Dia (jurulatih) ajar semua pakai barang-barang sihatlah. Susu semua ditukarkan dengan susu badam. Gula ditukarkan tak pakai gula yang putih, dia pakai gula kelapa. Dia pakai yang semuanya berkhasiat. Itu yang saya suka itu. Pasal barang-barang khasiat kita boleh jaga untuk diri kita sendiri untuk kita sarankan pada kawan-kawan benda yang berkhasiat begini kan," kata Cik Sapiah, yang gemar memasak dan membuat kek.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Selain kaum hawa, kaum adam seperti Encik Mohamed Hussain Sarip, 76 tahun juga antara yang berminat untuk mengikuti kursus memasak itu.
Selain hidangan tradisional, beliau turut mempelajari cara-cara membuat kek 'brownies', kek cawan dan juga manisan-manisan lain.
Bagi pesara yang mempunyai tujuh orang anak dan 13 orang cucu itu, beliau turut didorong oleh keinginan meluaskan pengetahuannya.
"Dalam masa kehidupan kita ini, kita perlu menambah ilmu seberapa banyak ilmu yang boleh tambah, tambah. Tak peduli apa jenis ilmu. Mungkin masa dulu saya tak dapat belajar untuk masak-masak tapi sekarang ini punya ada masa dan ada peluang. Bila ruang dan peluang diberi, kita mesti rebut dan kita ambil. Jangan dibiarkan. Maka itulah saya mengikuti kursus masak memasak ini untuk makanan sihat dan khasiat," kata Encik Hussain.
Selain menyumbang semula kepada Montfort Care, Encik Hussain berharap pengetahuan yang diraih itu dapat membantunya memulakan perniagaan kecil-kecilan.
14 PERTUBUHAN SUDAH RAIH MANFAAT DARIPADA 'DANA FUN!'
Program 'Masak Masak' itu dapat dilaksanakan hasil sokongan 'Dana FUN!' oleh Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) dan Yayasan Masyarakat Singapura.
Geran berjumlah sehingga S$50,000 itu bertujuan menyokong pertubuhan-pertubuhan penjagaan masyarakat untuk menyediakan inisiatif-inisiatif yang lebih menyeronokkan buat warga emas.
Selain memasak, warga emas di Montfort Care yang berminat turut mengikuti kursus 'barista' dan berkebun.
"Kami dapati bahawa keseronokan boleh menggalak penuaan sihat dan sekali gus menambah baik kesejahteraan warga emas. Jadi kami melancarkan 'Dana FUN!' kerana kami mahu warga emas yang menerima perkhidmatan jagaan masyarakat untuk menikmati dan berseronok apabila mereka menerima perkhidmatan itu," kata Pengarah, Divisyen Sektor dan Kerjasama, AIC, Encik Andy Seet.
Dilancarkan tahun lalu, fasa pertama dana tersebut sudah diberikan kepada 14 pertubuhan jagaan masyarakat di mana lapan di antaranya merupakan AAC.
Encik Seet menambah, "Menerusi program 'Dana FUN!', kami berharap warga emas masih boleh terus belajar - mereka dapat meningkatkan hubungan bersama satu sama lain. Kami juga menyokong semangat kesukarelawanan jadi mereka boleh menyumbang semula kepada masyarakat."
AIC berharap dana tersebut dapat diluaskan kepada lebih banyak pertubuhan-pertubuhan jagaan masyarakat menjelang tahun hadapan.
Lebih 1,000 warga emas dijangka akan meraih manfaat daripada kegiatan-kegiatan yang diusahakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.