Warga emas bakal dapat bantuan guna kredit Pas Budaya SG S$100 di bawah projek perintis MCCY
Untuk melibatkan lebih ramai warga emas, pemerintah merancang untuk membawa acara-acara terpilih terus kepada mereka — terutamanya bagi mereka yang tinggal di rumah rawatan.
This audio is generated by an AI tool.
Sebagai sebahagian daripada projek perintis oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), pertubuhan seperti Pusat Penuaan Aktif, balai rakyat dan rumah rawatan akan membantu warga emas menebus kredit Pas Budaya SG mereka yang bernilai S$100 dan menyusun program yang sesuai untuk mereka.
Pertubuhan-pertubuhan tersebut akan membantu warga emas menebus kredit mereka, merancang kegiatan, dan memilih program yang sesuai dengan berbincang terus dengan mereka serta bekerjasama dengan sukarelawan untuk memperkenalkan pengalaman baharu.
Kementerian itu menyasarkan untuk melibatkan sekitar 160 warga emas dalam lawatan yang akan dijalankan dalam tempoh dua bulan pertama. Ia kemudian akan meneroka kerjasama dengan lebih banyak pertubuhan untuk meningkatkan usaha tersebut dan memberi manfaat kepada lebih ramai orang.
MENGHARGAI SENI DAN WARISAN TEMPATAN
Pas Budaya SG bertujuan untuk meraikan seni dan warisan Singapura, dan memudahkan rakyat Singapura untuk menikmati pelbagai pengalaman budaya.
Mereka boleh menggunakan kredit mereka untuk membeli tiket bagi lebih 400 program seni dan warisan layak yang ditawarkan melalui pengendali tiket yang sah.
Sejak ia dilancarkan pada September, kredit bernilai lebih S$1.8 juta di bawah pas tersebut sudah pun digunakan.
Selain menganjurkan lawatan, MCCY merancang untuk membawa acara-acara terpilih terus kepada mereka — terutamanya bagi mereka yang tinggal di rumah rawatan dan menghadapi kesukaran bergerak.
Encik Limonium Sua, penolong pengarah Pejabat Pas Budaya MCCY SG, berkata kementerian tersebut komited untuk memastikan semua rakyat Singapura dapat memanfaatkan kredit tersebut dan menikmati suasana budaya yang rancak.
"Tujuan inisiatif perintis kami adalah untuk benar-benar memahami jenis bantuan yang diperlukan oleh warga emas dan rakan kongsi masyarakat, supaya mereka boleh menganjurkan acara berkenaan secara bebas," kata Encik Sua.
"Ini penting bagi kami untuk benar-benar memahami apa lagi yang perlu kami lakukan, supaya kami boleh meluaskan usaha ini dengan cara yang bermakna."
Sebagai contoh, beberapa warga emas di Pusat Penuaan Aktif (Penjagaan) Vanguard di Woodlands baru-baru ini menyertai kelas melukis.
Sesi tersebut melibatkan penggunaan pisau palet yang lebih ringan dan mudah digunakan berbanding berus lukisan biasa, sekali gus menjadikan kegiatan itu lebih mudah diakses oleh para artis yang berjiwa muda itu.
Pihak penganjur memberitahu Mediacorp bahawa kemudahan akses adalah salah satu sebab utama di sebalik kegiatan yang dipilih pada hari itu.
Cik Nur Faizah Hairil Basar, eksekutif kanan perhubungan masyarakat di penyedia perkhidmatan penjagaan warga emas Vanguard Healthcare, berkata ia mengutamakan kegiatan yang unik dan menarik untuk warga emas bagi menarik minat mereka.
Mereka juga melibatkan warga emas dalam memilih kegiatan dengan mengambil kira kehendak mereka dan memastikan pilihan yang disediakan bermakna dan menyeronokkan.
"Kami fikir dengan memilih acara budaya, kami dapat memperkenalkan warga emas kami kepada pengalaman yang berbeza, dan pada masa yang sama, ia membantu untuk memupuk hubungan sosial serta memberi mereka peluang melakukan sesuatu yang berbeza," tambahnya.
"Pada akhirnya, warga emas kami seronok melakukan kegiatan secara berkumpulan, dan kerana semua proses dikendalikan oleh AAC, mereka berasa lebih selesa."
Warga emas yang mengambil bahagian berkata pengalaman itu memberi ketenangan dan memuaskan.
Encik Semon Chew, seorang warga emas yang menghadiri Pusat Penuaan Aktif (Penjagaan) Vanguard di Woodlands, berkata beliau ingin terus meneroka seni melalui Pas Budaya SG.
"Pas budaya ini adalah permulaan yang sangat baik untuk warga emas terlibat dalam seni dan budaya," tambahnya.
"Semasa muda dahulu, kami tidak ada masa untuk melakukan kegiatan seni, kerana perlu bekerja dan mencari nafkah. Tetapi sekarang, saya dapati seni sangat menenangkan dan menyeronokkan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.