Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga emas 74 tahun terjatuh, meninggal dunia setelah diserang gara-gara merokok di kolong blok

Anggaran Waktu Membaca:
Warga emas 74 tahun terjatuh, meninggal dunia setelah diserang gara-gara merokok di kolong blok

Tangkapan skrin daripada Google Street View menunjukkan Blok 328, Hougang Avenue 5.

SINGAPURA: Setelah mendapati seorang lelaki berusia 74 tahun merokok di sebuah kolong blok, seorang pekerja bank bersemuka dengan warga emas itu lalu mengambil gambarnya.

Warga emas itu kemudian mengejar pekerja bank berkenaan mengelilingi sebuah tiang. Ketika pergelutan berlaku, pekerja bank tersebut meluru ke arah warga emas itu, menyebabkan beliau terjatuh ke belakang lalu terhentak kepalanya di lantai.

Warga emas itu dibawa ke hospital dengan beberapa kecederaan yang dialami di kepalanya. Beliau kemudian disahkan meninggal dunia pada lewat malam tersebut.

Allan Chua Kim Wee, 36 tahun, mengaku bersalah pada Jumaat (3 Feb) atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan secara sengaja. Ini meskipun dia tidak berniat untuk menyebabkan kecederaan yang teruk tetapi yang sebaliknya telah berlaku.

Mahkamah diberitahu bahawa Chua merupakan seorang penganalisis pelanggan di sebuah bank tempatan pada ketika itu.

Pada 25 Disember 2021, Chua sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bersarapan di pusat beli-belah Hougang Mall apabila dia ternampak mangsa, Ng Sioh Leng, seorang pesara yang berusia 74 tahun.

Encik Ng kelihatan sedang merokok ketika duduk di sebuah bangku di kolong Blok 328, Hougang Avenue 5.

Chua mahu membuat aduan mengenai tindakan merokok berkenaan lalu dia mula memetik beberapa gambar Encik Ng dengan menggunakan telefon bimbitnya. Chua juga menegur Encik Ng mengenai tindakannya merokok di kolong blok.

Encik Ng sebaliknya bertindak balas dengan mengejar Chua mengelilingi sebuah tiang, menurut dokumen mahkamah.

Chua melarikan diri daripada Encik Ng dengan berjalan ke arah lobi lif. Namun demikian, dia ternampak Ng meluru ke arahnya sambil memegang tongkat.

Chua terus berlari ke arah Encik Ng dan melanggar bahagian perut Encik Ng dengan bahu kanannya.

Encik Ng kemudian terjatuh ke belakang akibat kesan tersebut dan terhantuk kepalanya ke lantai.

Sebahagian insiden itu dirakam menerusi kamera polis di lif lobi.

Apabila Chua menyedari bahawa Encik Ng sudah tidak lagi memberi sebarang respons, dia menghubungi polis.

Mangsa dibawa ke hospital dengan beberapa kecederaan yang dialami di kepalanya. Dia kemudian dimasukkan ke unit jagaan rapi (ICU) dan disahkan meninggal dunia pada lewat malam tersebut.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan parah di kepalanya.

Chua akan kembali dihadapkan ke mahkamah minggu depan untuk dijatuhi hukuman.

Hukuman bagi kesalahan menyebabkan kecederaan secara sengaja, di mana kecederaan itu tidak disengajakan menjadi teruk tetapi sebaliknya berlaku sedemikian, adalah penjara sehingga lima tahun, denda tidak melebihi S$10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan