Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga China beratur panjang beli Panadol untuk dihantar kepada saudara-mara; kes COVID-19 terus meningkat di China

Anggaran Waktu Membaca:
Warga China beratur panjang beli Panadol untuk dihantar kepada saudara-mara; kes COVID-19 terus meningkat di China

Orang ramai beratur di depan Shun Xing Express di People's Park Complex pada 21 Dis 2022. (Gambar: CNA/Davina Tham)

SINGAPURA: Warga China di Singapura yang bimbang tentang lonjakan kes jangkitan COVID-19 di negara asal mereka sudah mula menghantar ubat demam selesema kepada saudara-mara yang terjejas dengan pandemik yang semakin memburuk dan kekurangan bekalan ubat di negara tersebut.
Semasa Mediacorp meninjau keadaan di People's Park Complex pada pagi Rabu (21 Dis), lebih 20 orang sedang beratur di Shun Xing Express, sebuah syarikat yang menawarkan khidmat penghantaran ke China.

Seorang pekerja berkata sejak Selasa (20 Dis) Shun Xing terpaksa menghadkan jumlah pelanggan yang menghantar bekalan ubat ke China kepada 50 orang dalam sehari.

Para pelanggan yang tidak menghantar barangan perubatan tidak tertakluk kepada had berkenaan.

Ini selepas "terlalu ramai" orang datang untuk menghantar bekalan ubat pada Isnin (19 Dis) dan mereka sanggup beratur panjang sampai ke perhentian bas, kata pekerja tersebut.
AHLI KELUARGA KIRIM UBAT

Pada pukul 10.30 pagi, sebuah papan tanda yang diletakkan di luar Shun Xing menyatakan bahawa had 50 penghantaran perubatan dalam sehari sudah diperuntukkan dan mereka yang tidak ada nombor dinasihatkan supaya berhenti beratur.

Sebuah lagi papan tanda bertarikh 19 Disember menyenaraikan 17 wilayah dan majlis perbandaran yang mengalami kelengahan penghantaran akibat pandemik, termasuk Beijing, Shandong dan Jiangsu.

Para pelanggan yang beratur berasal dari wilayah di seluruh China dan memberitahu Mediacorp bahawa mereka memutuskan untuk menghantar bekalan ubat selepas ahli keluarga mereka menyuruh mereka untuk berbuat demikian.

Cawangan Watsons di People's Park Complex dan Chinatown Point kehabisan bekalan Panadol ketika Mediacorp membuat tinjauan pada tengah hari Rabu.

Para kakitangan di kedua-dua cawangan tersebut menyatakan bahawa mereka menyaksikan ramai warga China yang membeli Panadol sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Kedua-dua cawangan itu bagaimanapun tidak meletakkan sebarang had pembelian.

Seorang pekerja di cawangan People's Park Complex berkata apabila bekalan Panadol tiba pada Selasa lalu, ia habis dijual dalam masa setengah jam.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan