Warga Bangladesh yang cuba rompak kedai pajak gadai menyamar sebagai Sikh
Penemuan itu memberi pihak polis gambaran yang lebih jelas mengenai identitinya, menurut polis semasa satu sidang media pada Khamis (2 Ogos).
SINGAPURA: Lelaki warga Bangladesh yang cuba merompak sebuah kedai pajak gadai di luar stesen MRT Boon Lay Sabtu lepas (28 Jul) menyamar sebagai seorang Sikh dengan memakai serban.
Dia kemudian pergi ke sebuah blok HDB di Jurong West dan meninggalkan begnya antara tanaman pokok di luar rumah seorang penduduk. Beberapa jam selepas kejadian itu, penghuni flat tersebut terlihat beg berkenaan dan memaklumkannya kepada pihak polis.
Penemuan itu memberi pihak polis gambaran yang lebih jelas mengenai identitinya, menurut polis semasa satu sidang media pada Khamis (2 Ogos).
Lelaki yang berusia 29 tahun itu, sebelum ini bekerja sebagai pekerja binaan dan tinggal di Singapura melebihi tempoh yang dibenarkan sejak Disember tahun lalu. Dia diberkas pada Rabu (1 Ogos) di Muscat Street sekitar jam 7.00 malam.
Timbalan Pesuruhjaya Polis dan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Florence Chua berkata suspek terkejut semasa ditangkap.
"Dia tidak menjangkakan bahawa kami dapat mengesan penyamarannya" katanya.
Lelaki itu memasuki sebuah kedai pajak gadai ValueMax di luar stesen MRT Boon Lay pada sekitar 4.30 petang, bersenjatakan pisau dan senapang yang dipasang menggunakan beberapa bahagian plastik, dan menuntut seorang pekerja supaya menyerahkan wang tunai dan barang kemas.
Apabila pekerja itu enggan melakukan demikian, lelaki itu didakwa mengatakan bahawa dia akan meletupkan kedai itu kerana ada alat letupan. Dia melarikan diri dari tempat kejadian selepas membaling sebuah objek di kaunter.
Hasil siasatan mendapati objek itu hanya mengandungi beberapa komponen elektrik, menurut pihak berkuasa pada hari Sabtu (29 Jul).
Suspek itu dijangka dihadapkan di mahkamah pada hari Jumaat (3 Jul).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.