Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga Australia akan mengaku bersalah ancam mahu pesawat Jetstar terhempas di Lapangan Terbang Changi

Seorang penumpang yang mengancam untuk menyebabkan sebuah pesawat Jetstar terhempas ketika menaiki penerbangan itu di Lapangan Terbang Changi, didakwa pada Isnin (9 Dis) kerana menggunakan kata-kata ugutan.

Anggaran Waktu Membaca:
Warga Australia akan mengaku bersalah ancam mahu pesawat Jetstar terhempas di Lapangan Terbang Changi

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 09 Dec 2024 12:04PM Dikemas Kini : 09 Dec 2024 12:06PM
SINGAPURA: Seorang penumpang yang mengancam untuk menyebabkan sebuah pesawat Jetstar terhempas ketika menaiki penerbangan itu di Lapangan Terbang Changi, didakwa pada Isnin (9 Dis) kerana menggunakan kata-kata ugutan.

Warga Australia, Moncrieff Marli Curtis Philip, 36 tahun memberitahu mahkamah bahawa dia akan mengaku bersalah terhadap dua tuduhan ke atasnya.

Satu perbicaraan segera untuk dia berbuat demikian ditetapkan pada 18 Disember.

Moncrieff dituduh berkata: "Saya harap penerbangan ini akan terhempas dan bunuh semua orang" dan "Saya mahu pesawat ini terhempas".

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada 20 November lalu pada sekitar pukul 5.40 pagi di ruang menunggu bagi penerbangan Jetstar JQ96 ke Perth, yang terletak di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi.

Pada pukul 7.40 pagi kemudian dan ketika Moncrieff berada di kaunter ketibaan imigresen, dia didakwa berkata: "Jika awak letak saya di pesawat yang lain, saya akan lakukan yang sama, saya akan beritahu juruterbang, saya akan membuat pesawat itu terhempas."

Kata-katanya dalam kedua-dua kejadian itu kemungkinan menimbulkan rasa cemas, menurut kertas tuduhan.

Moncrieff yang berjambang tebal dan kini dilepaskan dengan ikat jamin peribadi sebanyak S$1,000 hadir di mahkamah daerah untuk mendengar tuduhan ke atasnya.

Pihak pendakwa polis memaklumkan kepada mahkamah bahawa pasportnya telah dirampas dan kedutaan Australia dimaklumkan supaya tidak mengeluarkan dokumen perjalanan baharu.

Apabila Hakim Daerah Lorraine Ho bertanya kepada Moncrieff jika dia ingin mengaku bersalah secepat mungkin, dia menjawab ya.

Hakim Ho juga bertanya jika Moncrieff telah melantik seorang peguam di mana dia mengesahkan bahawa tidak mampu mendapatkan khidmat seorang peguam.

Polis sebelum ini berkata selepas Moncrieff didakwa mengeluarkan kata-kata ugutan kepada seorang kru kabin, dia diarah supaya turun daripada kapal terbang itu dan dibawa ke sebuah bilik tahanan, di mana dia dikatakan melafazkan kata-kata yang sama.

Ancaman terhadap keselamatan dipandang serius dan polis akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menyebabkan kecemasan kepada orang awam dengan membuat ugutan palsu, katanya.

"Selain daripada rasa takut dan menyebbakan kesulitan kepada orang awam, ugutan palsu itu membazirkan sumber awam yang perlu dikerahkan bagi menangani kejadian sedemikian," tegas polis.

Di bawah Akta Perlindungan daripada Gangguan, hukuman bagi kesalahan menggunakan kata-kata ugutan yang berkemungkinan menimbulkan rasa cemas adalah denda sehingga S$5,000.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan