Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga asing dijel, denda sogok wang dan khidmat seks kepada pegawai ICA untuk dapat Pas Khas

Seorang wanita berusia 38 tahun yang tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di Singapura dihukum penjara 25 minggu dan didenda S$8,000 pada Jumaat (17 Dis) kerana memberi rasuah kepada seorang Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) untuk mendapatkan Pas Khas.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Warga asing dijel, denda sogok wang dan khidmat seks kepada pegawai ICA untuk dapat Pas Khas

Liang Qinglan meninggalkan Mahkamah Negara pada 24 Nov 2020. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

SINGAPURA: Seorang wanita berusia 38 tahun yang tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di Singapura dihukum penjara 25 minggu dan didenda S$8,000 pada Jumaat (17 Dis) kerana memberi rasuah kepada seorang Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) untuk mendapatkan Pas Khas.

Liang Qinglan, seorang warga China, memberi khidmat seks kepada inspektor imigresen Teo Hwee Peng selain sampul wang berisi 188.88 yuan (S$39), wang tunai sekurang-kurang S$2,100, dan pinjaman wang berjumlah kira-kira 7,000 yuan (S$1,499).

Sebaik sahaja dia didakwa pada November tahun lalu, Liang mula menawarkan khidmat seks secara haram online dan menerima 90 pelanggan di flat yang disewa di Jurong West.

Teo, 48 tahun pula didakwa menerima sogokan daripada Liang dan seorang lagi warga China.Kesnya sedang dibicarakan di mahkamah.

Liang mengaku bersalah pada Jumaat atas empat tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah dan juga Piagam Wanita. Lapan lagi tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Liang mula bekerja sebagai seorang pelacur di Singapura selepas Pas Lawatan Sosialnya tamat tempoh pada Julai 2018.

Semasa Liang mula mencari jalan untuk melanjutkan tempoh lawatannya, dia diberitahu oleh seorang kawan tentang Teo yang bekerja di ICA dan boleh mendapatkan Pas Khas buatnya.

ICA atau Kementerian Tenaga Manusia mengeluarkan Pas Khas untuk membolehkan warga asing untuk menetap di Singapura atas sebab-sebab seperti membantu siasatan dan menghadiri prosiding mahkamah.

MEMBUAT RANCANGAN UNTUK BERKAS LIANG

Liang menghubungi Teo dan memberitahunya dia sudah tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan selama sebulan. Teo meminta maklumat pasport dan alamat Liang sebelum memberitahu Liang yang dia boleh mendapatkan Pas Khas buatnya.

Sebagai ganjaran, Teo meminta iPhone 10 dan Liang bersetuju.

Sekitar Julai dan Oktober 2018, Teo datang ke rumah Liang, di mana mereka mengadakan hubungan seks.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) David Menon memberitahu mahkamah bahawa Teo tidak membayar Liang dan wanita itu tidak meminta dibayar.

Liang bertanya Teo tentang prosedur untuk mendapatkan Pas Khas. Teo memberitahunya yang dia menangkap pesalah yang tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di Singapura dan akan mengaturkan agar Liang diberkas.

Sebelum bekerja sebagai inspektor di pusat pemeriksaan, Teo bekerja di jabatan operasi perisikan ICA, di mana dia mengenal pasti dan menangkap pesalah imigresen.

Pada 16 Okt 2018, Liang diberkas dalam satu operasi bersama ICA dan Pasukan Polis Singapura (SPF).

Liang bersetuju dengan pihak berkuasa untuk terus berada di Singapura untuk membantu siasatan ICA, bayar denda kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan juga diberikan Pas Khas.

Beberapa hari selepas itu, Teo menghubungi Liang untuk mendapatkan lebih banyak gajaran. Liang membayar bil makanan mereka di pusat beli-belah Jem di Jurong East sebelum membuat tawaran untuk membelinya iPhone 10 - produk yang Teo mahukan sebelum itu.

Teo menolak tawaran tersebut dan sebaliknya, mengambil wang tunai S$2,100 hingga S$2,200 daripadanya.

Teo menghubungi Liang lagi kerana terdesak memerlukan wang.
Bimbang pas khasny aditarik balik, Liang memindahkan 5,000 yuan (S$1,070) kepada Teo melalui WeChat pada Oktober 2018.

Sumber : CNA/NY/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan