Warees, Politeknik Temasek meterai MOU; bina keupayaan industri untuk ekosistem halal yang mampan
MOU itu ditandangani Ketua Pegawai Eksekutif Warees Halal Limited Cik Dewi Hartaty Suratty dan Pengarah Sekolah Sains Gunaan Politeknik Temasek Dr Goh Lay Beng.
BERITAmediacorp: Warees Halal Limited dan Politeknik Temasek hari ini (5 Sep) memeterai memorandum persefahaman (MOU) untuk secara bersama membangunkan sebuah ekosistem Halal yang mampan.
MOU itu ditandangani Ketua Pegawai Eksekutif Warees Halal Limited Cik Dewi Hartaty Suratty dan Pengarah Sekolah Sains Gunaan Politeknik Temasek Dr Goh Lay Beng di acara Teater Halal di pameran Food & Hotel Asia (FHA) 2022 di Singapore EXPO.
Dalam ucapannya, Cik Dewi berkata industri makanan Halal sebahagian besarnya saling berkaitan dengan perkembangan sains dan teknologi.
Kedua-dua pihak akan memanfaatkan kepakaran masing-masing untuk mencapai dua objektif utama.
Pertama, untuk menyediakan sokongan yang lebih komprehensif untuk perniagaan dalam bidang pembinaan kapasiti, penyelidikan dan ujian bagi memudahkan pembangunan, pematuhan dan perdagangan produk dan perkhidmatan Halal di peringkat global.
Kedua, untuk menubuhkan laluan pembelajaran berstruktur untuk pelajar pengajian tinggi dan pelajar dewasa.
Mereka akan dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran dan peralatan yang relevan dan terkini sepanjang kerjaya mereka dalam industri Halal dan makanan.

Kata Cik Dewi: "Dengan MOU ini, para pelajar dapat menimba ilmu mengenai pensijilan dan pemakanan halal lebih awal lagi. Dan InsyaAllah dengan itu ia akan membuka ruang yang lebih luas lagi untuk mendapatkan pekerjaan pada masa depan."
Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, sebuah kursus "Asas Sains Makanan dan Pengurusan Pensijilan Halal' yang dipercepatkan akan ditawarkan mulai Januari akan datang.
Para peserta kursus akan didedahkan kepada pelbagai topik merangkumi trend pasaran dan industri,
asas sains dan teknologi makanan, keperluan pensijilan Halal serta pembangunan dan penyelenggaraan sistem pengurusan mutu Halal.
PORTAL RANGKAIAN HALAL WAREES DILANCAR
Portal Rangkaian Halal Warees (WHN) turut dilancarkan hari ini.
Rangkaian Halal Warees mula diperkenalkan pada 2020 sebagai platform kerjasama untuk mencipta pertumbuhan dan peluang perniagaan.

Ia ingin membangunkan komuniti yang membolehkan para pemain industri berhubung antara satu sama lain, menyumbang idea dan bekerjasama ke arah objektif bersama.
Selain itu, ia ingin mewujudkan sebuah sistem sokongan yang dipercayai untuk perniagaan mendapatkan akses kepada sumber dan pengetahuan daripada pakar industri melalui saluran dalam talian dan luar talian yang terpilih.
Ia turut menawarkan nilai tambah kepada pemain industri Halal melalui perkhidmatan eksklusif serta , kadar istimewa yang ditawarkan oleh Warees Halal dan rakan-rakan strategiknya.
"Dengan inisiatif tersebut, kami berharap ia dapat memudahkan usaha syarikat dalam pembangunan, pematuhan serta perdagangan produk halal. Dan bagi masyarakat Islam Singapura, InsyaAllah mereka dapat menikmati bekalan makanan yang berterusan dan pelbagai serta menjadi lebih yakin terhadap produk yang berlogo halal," ujar Cik Dewi lagi.
Hari ini, ekonomi Halal dianggarkan bernilai AS$2 trilion (S$2.81 trilion) dan dijangka meningkat kepada AS$2.8 trilion (S$3.93 trilion) menjelang 2025.
Salah satu sektor terbesar ekonomi Halal global ialah makanan.
Ia dianggarkan bernilai bernilai AS$1.3 trilion (S$1.83 trilion) dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 7.1 peratus.
Di Singapura, terdapat sekitar 5,000 cawangan makanan dan 50,0000 produk yang diberikan sijil Halal oleh Muis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.