Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warees Limited, JTB meterai kerjasama tawar lebih banyak makanan "mesra halal" di Jepun

Satu kerjasama dimeterai antara Warees Limited, badan bertanggungjawab melakukan pemeriksaan sijil halal di Singapura dengan syarikat pelancongan terbesar Jepun, JTB bagi menyediakan lebih banyak lagi tempat serta makanan yang 'mesra halal' di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu kerjasama dimeterai antara Warees Limited, badan bertanggungjawab melakukan pemeriksaan sijil halal di Singapura dengan syarikat pelancongan terbesar Jepun, JTB bagi menyediakan lebih banyak lagi tempat serta makanan yang 'mesra halal' di negara itu.

BERITAMediacorp bertemu dengan kedua-dua pihak bagi mengetahui bagaimana kerjasama itu dapat memanfaatkan pelancong Muslim.

AS$3.2 TRILION DALAM TEMPOH 5 TAHUN

Laporan terkini syarikat penasihat dan kajian strategi pertumbuhan DinarStandard menunjukkan secara keseluruhan ekonomi halal dunia dijangka mencecah lebih AS$3.2 trilion dalam tempoh lima tahun.

Salah satu sektor yang menjanjikan potensi besar bagi produk halal adalah industri makanan dan minuman (f&b) yang semakin berkembang di rantau Asia Pasifik, khususnya China, Korea dan Jepun.

Bagi memastikan syarikat-syarikat Singapura tidak terlepas merebut peluang keemasan itu, satu kerjasama dijalin antara Warees Halal Limited serta syarikat pelancongan JTB Pte Ltd pada Jumaat (29 Nov). 

"Saya rasa pengguna Islam Singapura dapat pilihan yang lebih luas lagi bagi produk makanan halal di Jepun sama ada mereka berada di Singapura ataupun jika mereka berada di Jepun, selain itu juga mereka dapat merasa lebih yakin kerana produk makanan akan diberikan sijil halal oleh Warees berdasarkan piawaian halal MUIS," kata Cik Dewi Hartaty, CEO Warees Halal Limited.

PELUANG TERUS KEMBANGKAN NIAGA

Bagi Cik Samsiah Suliman, pemilik Jumain Sataysfaction misalnya, kolaborasi antara Singapura dan Jepun itu akan memberikannya peluang untuk terus mengembangkan perniagaan sate di Jepun.

Sebelum ini, beliau sudah menjual sate menerusi trak makanan di Tokyo.

(Cik Samsiah Suliman, (kiri) ingin mengembangkan perniagaannya di Jepun) 

"Salah satu cara ialah mungkin kami dapat membekalkan daripada Jepun sendiri, sate-sate membekalkan kepada pasaran serbaneka di sana untuk pasaran halal di Jepun," kongsinya dengan pihak kami.

OLIMPIK TOKYO BUKA PELUANG

Di pihak JTB sendiri, mereka menjangkakan permintaan bagi produk dan perkhidmatan yang mematuhi tuntutan Islam akan terus berkembang sama ada daripada pengunjung mahupun penduduk Jepun sendiri.

Ini lebih-lebih lagi dengan negara itu yang dipilih menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Tokyo pada tahun depan, memerlukan banyak produk halal untuk memenuhi keperluan atlit beragama Islam.

"Saya rasa kerjasama antara Warees Halal dan JTB akan membawa manfaat kepada pengunjung Muslim Singapura ke Jepun kerana mereka akan dapat mencari tempat-tempat mesra halal untuk tinggal dan juga pilihan-pilihan yang lebih luas bagi makanan dan minuman,"kongsi Cik Elaine Chong Yeeting, Pengutus Jabatan Jualan JTB.

Cik Dewi pula meramalkan peningkatan jumlah pelancong dari Asia dan Timur Tengah ke Jepun pada tahun depan:

"Kami dapati bahawa pasaran Jepun banyak potensi kerana perkembangan pesat industri pelancongan dan pemakanan di Jepun terutamanya pelancong-pelancong dari Asia dan Timur Tengah yang mana kebanyakan mereka adalah orang yang beragama Islam.

"Selain itu kami juga rasa trend perkembangan industri Jepun ini akan terus berkembang ekoran pelibatan Jepun sebagai tuan rumah bagi acara antarabangsa seperti Olimpik 2020 dan juga World Ekspo," tambah beliau lagi.

Selain negara Jepun, Warees Halal Limited juga sudah meluaskan khidmat halal mereka ke China, Korea, Itali dan Belgium.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan