Warees lancarkan rangkaian satukan masyarakat halal bagi wujudkan peluang baru
Rangkaian itu akan menyatukan masyarakat halal untuk bersama-sama mewujudkan peluang-peluang pertumbuhan dan perniagaan.
Majlis menandatangani perjanjian antara Warees dengan rakan-rakan kerjasama strategik, 17 Nov. (Gambar: Warees)
SINGAPURA: Syarikat Warees Halal Limited menandatangani perjanjian dengan rakan-rakan kerjasama strategiknya bagi melancarkan Rangkaian Halal Warees (WHN), iaitu sebuah platform kerjasama bagi industri halal.
Rangkaian itu akan menyatukan masyarakat halal untuk bersama-sama mewujudkan peluang-peluang pertumbuhan dan perniagaan.
Perjanjian WHN itu ditandatangani pada 17 November lalu disaksikan oleh Pengerusi Warees Sallim Abdul Kadir dan Ketua Eksekutif Warees, Dewi Hartaty Suratty.
Rangkaian itu adalah sebuah skim berasaskan langganan keanggotaan.
Menerusi WHN, Warees berharap untuk mencapai tiga matlamat.
Pertama, membangunkan sebuah masyarakat yang saling bertukar-tukar pandangan dengan mengupayakan para pemain industri baik tempatan mahupun luar negara untuk saling berhubung, menyumbang idea dan berkongsi pengalaman serta bekerjasama ke arah satu objektif.
Kedua, untuk mewujudkan sistem sokongan yang kukuh untuk perniagaan-perniagaan mendapat akses kepada sumber-sumber, peralatan dan pengetahuan daripada para pakar industri menerusi saluran-saluran dalam atau luar talian.
Ketiga, menyediakan nilai tambah kepada para pemain industri halal menerusi khidmat-khidmat eksklusif, potongan harga dan naik taraf secara percuma yang ditawarkan oleh Warees serta rakan-rakan sokongannya.
"Pelancaran Rangkaian Halal Warees dan perjanjian kerjasama yang ditandatangani dengan pelbagai rakan kerjasama adalah satu mercu tanda bagi Warees Halal dan komitmen kami kepada industri halal.
"Bersama kita boleh menaikkan taraf perniagaan-perniagaan untuk mempertingkat daya tahan mereka dan memanfaatkan peluang-peluang baru yang boleh membantu mereka menjadi lebih utuh selepas pandemik ini," menurut Encik Sallim.
Sebagai sebahagian daripada promosi pelancaran WHN, para pemegang sijil halal MUIS dan Warees layak menjadi anggota rangkaian itu secara percuma.
Mereka boleh memanfaatkan pelbagai kelebihan yang disediakan oleh Warees dan rakan-rakan strategiknya.
Antaranya:
-akses eksklusif kepada sesi jaringan perniagaan global dan wadah-wadah pemadanan perniagaan,
- menerima maklumat terkini tentang perkembangan industri halal baik di Singapura mahupun luar negara,
- akses eksklusif kepada Perpustakaan Sumber Halal,
- undangan eksklusif kepada acara-acara bagi anggota WHN sahaja,
- akses kepada khidmat-khidmat eksklusif dan harga istimewa oleh Warees dan rakan strategiknya dalam kegiatan-kegiatan utama perniagaan,
- diberi keutamaan bagi pendaftaran bagi acara-acara yang dianjurkan oleh Warees dan rakan-rakan strategiknya
- dipaparkan dalam buletin bulanan Warees dan juga platform-platform media sosialnya menerusi sumbangan kandungan dan
- disenaraikan dalam Direktori Keanggotaan Online.
Rakan-rakan kerjasama strategik dalam perjanjian WHN termasuk CEO Bank CIMB Singapura, Victor Lee Meng Teck; Naib Presiden Operasi Hao mart, Ronnie Tan; Pengarah Acara Pelayanan, Makanan dan Minuman Informa Markets, Martyn Cox; Ketua Perlindungan Klien Maybank Singapore, Amos ong; Pengarah Quirk, Rina Lim; Presiden Persekutuan Kulinari Halal Singapura, Muhammad Abdullah dan Naib Presiden serta Ketua Casualty & Finpro Asia Tenggara, Jack See.
"Kerjasama ini merupakan langkah penting ke hadapan bagi industri halal dan kulinari sedang kita bekerjasama untuk memastikan piawai mutu khidmat dan amalan-amalan terbaik bagi makanan dan minuman halal yang baik," kata Encik Muhammad Abdullah.
Menurut Warees, sedang syarikat-syarikat meneroka peluang-peluang perniagaan, pasaran halal adalah pasaran yang tidak boleh dilepaskan.
Industri makanan halal global dianggarkan bernilai AS$1.4 trilion (S$1.8 trilion), dengan kadar pertumbuhan kompaun tahunan sebanyak 6.3 peratus.
Warees, sebagai sebuah syarikat di bawah Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), sudahpun melaksanakan pelbagai program pembangunan keupayaan yang dibiayai pemerintah untuk membantu perniagaan-perniagaan memahami pasaran dan memenuhi piawai pensijilan halal.
Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan sebagai pembuka sesi webinar 'Halal Perspectives: Opportunities in Times of Uncertainty' (Perspektif Halal: Peluang dalam Era Tidak Menentu), anjuran bersama Warees dengan Informa Markets.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.