Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warees Halal, PT Insan Halal Terpercaya meterai perjanjian bagi perhalusi proses eksport produk Halal SG ke Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
Warees Halal, PT Insan Halal Terpercaya meterai perjanjian bagi perhalusi proses eksport produk Halal SG ke Indonesia

(Gambar: Warees Halal Limited/Facebook)

SINGAPURA: Bagi memperhalusi proses mengeksport produk ke Indonesia, Syarikat Berkaitan Pemerintah (GLC) di bawah Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Warees Halal Limited (WHL), memeterai perjanjian kerjasama dengan PT Insan Halal Terpecaya (IHATEC). 

Kerjasama eksklusif antara WHL dan institusi rundingan, pendidikan dan latihan dalam bidang Halal itu akan menawarkan program latihan selama empat hari buat syarikat-syarikat perniagaan berpangkalan di Singapura yang ingin menghasilkan produk atau mengeksport ke Indonesia, menurut kenyataan WHL pada Selasa (4 Mei). 

Program yang diadakan buat julung-julung kalinya itu akan memberikan gambaran keseluruhan tentang dasar-dasar Halal terkini, proses pensijilan dan prosedur eksport di Indonesia. 

Ia akan dijalankan secara online ataupun secara fizikal di Singapura. 

Mulai 17 Oktober 2024, pemerintah Indonesia akan mula menguatkuasakan Undang-Undang Republik Indonesia No. 13 Tahun 2014 tentang Jaminan Produk Halal secara bertahap-tahap di mana produk-produk yang diedarkan di Indonesia dikehendaki mempunyai sijil halal, bermula dengan produk makanan dan minuman (F&B). 

Pengerusi WHL, Haji Sallim Abdul Kadir, dan Pesuruhjaya IHATEC, Encik Nur Wahid, menandatangani perjanjian itu pada 14 April 2023 dan majlis itu diadakan secara maya. 

"Inisiatif ini adalah satu langkah baik bagi IHATEC menjalin hubungan dengan perniagaan-perniagaan di Singapura yang ingin mengeksport ke negara kami, Indonesia," ujar Cik Evrin Lutfika, Pengarah IHATEC. 

"Kami sangat gembira dan berbesar hati dapat merasmikan hubungan kami dengan Warees Halal dan bekerjasama untuk membantu memberikan pemahaman yang lebih baik mengenai peraturan berkaitan sijil, jaminan dan produk Halal." 

Menurut Laporan Ekonomi dan Kewangan Syariah 2020 yang dikeluarkan oleh Bank Indonesia, perbelanjaan domestik bagi produk dan perkhidmatan Halal mencecah AS$184 bilion (S$245 bilion) dan diramal akan meningkat sebanyak 14.96 peratus untuk mencecah AS$281.6 bilion (S$376 bilion) menjelang 2025. 

"Sebagai salah satu pasaran terbesar bagi makanan Halal, Indonesia membuka peluang yang luas kepada perniagaan-perniagaan Singapura. Warees Halal sebagai sebuah pertubuhan yang menyediakan khidmat Halal secara menyeluruh, sedia maklum tentang keinginan perniagaan-perniagaan tempatan untuk mengeksport produk mereka ke Indonesia," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WHL, Cik Dewi Hartaty Suratty. 

"Kami akan membantu dan memberi penjelasan dan pemahaman yang lebih baik untuk kedua-dua syarat sijil Halal dan eksport ke Indonesia dengan kerjasama PT Insan Halal Terpercaya (IHATEC).

"Kami berbesar hati melihat perbincangan kami membuahkan hasil dengan program latihan yang pertama dijangka diadakan secara online pada 24 Julai 2023."

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan