Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Waran tangkap dikeluarkan terhadap Charles Yeo

Anggaran Waktu Membaca:
Waran tangkap dikeluarkan terhadap Charles Yeo

Charles Yeo di Mahkamah Negara pada 19 Januari 2022. (Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)

SINGAPURA: Mahkamah Daerah pada Rabu (3 Ogos) mengeluarkan waran tangkap bagi peguam dan bekas pengerusi Parti Reform Charles Yeo selepas dia melanggar syarat mahkamah bagi perjalanan ke luar negara semasa diikat jamin. 

Yeo, 31 tahun, didakwa pada Januari kerana mengganggu seorang pegawai polis dan menyinggung perasaan keagamaan penganut Kristian dalam beberapa hantaran di media sosial. 

Yeo turut diberkas pada bulan yang sama untuk disiasat atas kesalahan melakukan pemalsuan dan dakwaan pecah amanah jenayah oleh peguam selepas aduan dibuat terhadap Whitefield Law Corporation. Yeo merupakan bekas rakan kongsi firma tersebut. 

Pada 20 Julai, Mahkamah Daerah memberi Yeo kebenaran untuk pergi ke Vietnam atas tujuan kerja antara 27 hingga 30 Julai. 

Namun, dia tidak pulang ke Singapura pada 30 Julai dan tidak melaporkan diri kepada pegawai siasatan pada 1 Ogos seperti yang dikehendaki, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) sebelum ini. 

Dalam satu pengumuman di Instagram pada 30 Julai, Yeo berkata dia sedang memohon "suaka politik" di United Kingdom (UK) selepas berulang kali mendakwa dalam beberapa bulan kebelakangan ini bahawa tuduhan jenayah terhadapnya "bermotif politik". 

Sewaktu perbicaraan semakan ikat jaminnya pada Rabu (3 Ogos), hakim menarik balik arahan ikat jamin Yeo sebanyak S$10,000. Ibu Yeo, yang merupakan penjaminnya, diarah tampil ke mahkamah untuk memberi penjelasan mengapa ikat jamin itu tidak harus ditarik balik. 

Hakim juga meluluskan permohonan bagi peguam bela Yeo Encik Ashwin Ganapathy, Encik Azri Imran Tan dan Encik Joshua Chow untuk melepaskan tanggungjawab mereka. 

Cik Victoria Tay yang hadir di mahkamah sebagai wakil peguam-peguam berkenaan, berkata, beliau diberi arahan untuk memfailkan bahawa mereka tidak sedia maklum bahawa Yeo sedang memohon suaka politik di UK dan tidak akan pulang ke Singapura seperti yang dijangkakan. 

Yeo adalah sebahagian daripada pasukan Parti Reform yang bertanding di GRC Ang Mo Kio pada Pilihan Raya Umum 2020, menentang pasukan lima anggota yang diketuai Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Dia meletak jawatan sebagai pengerusi parti itu berikutan penahanannya pada Januari.

Perbicaraan bagi semakan waran tangkap Yeo dijadualkan pada September. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan