Skip to main content

Singapura

Wanita yang pandu kereta sebelum nahas di Tanjong Pagar akan mengaku bersalah pandu berbahaya

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita yang pandu kereta sebelum nahas di Tanjong Pagar akan mengaku bersalah pandu berbahaya

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 16 Mar 2023 04:38PM Dikemas Kini : 16 Mar 2023 04:40PM
SINGAPURA: Seorang wanita yang memandu sebuah kereta sebelum berlakunya pelanggaran yang meragut lima nyawa di Tanjong Pagar akan mengaku bersalah atas kesalahan memandu secara berbahaya.

Rakyat Malaysia, Phoo Yi Lin, 26, berdepan satu tuduhan memandu kereta tersebut pada kelajuan 109 kilometer sejam di Tanjong Pagar Road. Kejadian itu berlaku pada 13 Februari 2021 sekitar pukul 5.35 pagi. Had laju di situ ialah 50 kilometer sejam.

Dia berada di mahkamah pada Khamis (16 Mac) untuk meminta kebenaran pulang ke Malaysia bagi tujuan kerja, kata peguamnya Sunil Sundheesan kepada Mediacorp.

Permintaannya untuk keluar dari Singapura ditolak mahkamah kerana dia berdepan kesalahan serius dan dianggap berisiko melarikan diri, kata Encik Sudheesan.

Perbicaraan ditetapkan pada 3 April untuk Phoo mengaku bersalah. Hukuman memandu secara berbahaya membawa hukuman sehingga 12 bulan, denda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

Phoo adalah salah seorang daripada tiga individu yang memandu kereta BMW M4 Coupe sejurus sebelum berlaku nahas yang meragut lima nyawa.

Pemilik kereta itu, Encik John Long Junwei, sedang memandu kereta tersebut apabila kemalangan maut itu berlaku sekitar pukul 5.40 pagi.

Dia meninggal dunia bersama empat penumpangnya - Eugene Yap Zheng MIn, Elvin Tan Yong Hao, Teo Qi Xiang dan Gary Wong Hong Chieh.

Phoo merupakan saksi kejadian itu bersama individu-individu lain, termasuk temanita Encik Long, Cik Raybe Oh dan Encik Park Se Jin, pemilik restoran di mana kumpulan tersebut makan sebelum itu.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita