Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita yang dituduh dalam insiden ludah di KFC berniat minta dibicarakan

Seorang wanita yang dituduh meludah ke arah seorang kakitangan restoran makanan segera dalam satu kejadian yang dirakam dalam video didakwa di mahkamah pada Rabu (10 Jun) dan dia berniat meminta dibicarakan.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita yang dituduh dalam insiden ludah di KFC berniat minta dibicarakan

Petikan dari video kejadian.

Diterbitkan : 10 Jun 2020 12:38PM Dikemas Kini : 10 Jun 2020 12:40PM

SINGAPURA: Seorang wanita yang dituduh meludah ke arah seorang kakitangan restoran makanan segera dalam satu kejadian yang dirakam dalam video didakwa di mahkamah pada Rabu (10 Jun) dan dia berniat meminta dibicarakan.

Lin Si Ting, 42 tahun didakwa atas tiga tuduhan termasuk menggunakan kekerasan dengan meludah, mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak memakai pelitup dengan betul.

Kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 12:50 tengah hari pada 22 Apr di sebuah cawangan KFC di pusat beli-belah NEX di Serangoon.

Lin dituduh mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kakitangan KFC Beniga Analou Gomez dengan mengatakan: "Tunggu sampai kamu mati, tunggu sampai seluruh keluarga kamu mati."

Tidak lama selepas itu, dia didakwa menggunakan kekerasan dengan meludah sebanyak dua kali ke arah Cik Gomez.

Lin juga dituduh tidak memakai pelitup dengan betul, kerana pelitup yang dipakai hanya menutup bahagian dagu dan bukan bahagian hidung dan mulutnya.

Lin berkata dia berniat meminta dibicarakan atas tuduhan-tuduhan itu dan tidak akan mendapatkan khidmat peguam.

Dia akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi untuk sidang sebelum perbicaraan pada 1 Julai.

Bagi kesalahan menggunakan kekerasan, dia boleh dijatuhi hukuman penjara hingga tiga bulan, denda hingga S$1,500, atau kedua-duanya sekali.

Atas kesalahan mengeluarkan kata-kata kesat dengan niat menimbulkan rasa cemas, dia boleh dihukum penjara hingga enam bulan, didenda hingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.

Lin boleh dikenakan hukuman penjara hingga enam bulan, didenda hingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali kerana tidak memakai pelitup dengan betul.

Polis menerusi satu kenyataan pada Selasa (9 Jun) menyatakan bahawa pihaknya memandang serius akan "tingkah laku penganiayaan dan tidak bertanggungjawab sedemikian", terutama sekali di tengah-tengah situasi COVID-19 sekarang ini.

"Setiap orang perlu memainkan peranan dengan mengamalkan tanggungjawab sosial, kebersihan diri dan bertimbang rasa terhadap orang lain, terutama sekali kakitangan perkhidmatan yang terus berkhidmat kepada orang awam sedaya mungkin semasa tempoh yang sukar ini," menurut polis.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan