Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita yang bersama anaknya dera amah dipenjara 14 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang wanita yang bersama-sama anak perempuannya mendera pembantu rumah mereka sehingga mati akibat kecederaan otak dijatuhi hukuman penjara 14 tahun.

Prema S Naraynasamy, 64 tahun, dijatuhi hukuman tersebut hari ini (9 Jan) kerana mendera pembantu rumah warga Myanmar, Piang Ngaih Don, 24 tahun.

Prema mengaku bersalah pada November atas 48 tuduhan, yang kebanyakannya sengaja menyebabkan kecederaan terhadap pembantu rumah berkenaan.

Perbuatan Prema termasuk: Menyimbah atau menyembur air pada pembantu berkenaan, menendang, menumbuk dan menyepak, mencengkam leher mangsa, menarik mangsa dengan merentap rambut beliau serta "memusingkan" kepada mangsa dengan ganas.

Prema juga memukul mangsa dengan peralatan seperti sudip, tuala dan botol sabun serta memerhatikan pembantu rumah itu semasa beliau menggunakan tandas.

Pembantu rumah itu meninggal dunia disebabkan kecederaan pada otak akibat trauma objek tumpul pada bahagian lehernya pada 26 Julai 2016. Ini selepas 14 bulan didera berulang kali.

Mangsa ditumbuk, dipijak dan dibiar kelaparan sehingga berat badannya hanya 24kg. Beberapa hari sebelum kematiannya, mangsa diikat pada jeriji tingkap pada sebelah malam dan menyerangnya jika beliau cuba mencari makanan dari tong sampah.

Serangan yang menyebabkan kematian mangsa berlaku dari sebelah malam 25 Julai 2016 hingga pagi 26 Julai 2016.

Pembantu rumah itu sedang mencuci pakaian sekitar pukul 11.04 malam pada 25 Julai 2016, apabila anak perempuan Prema, Gaiyathiri Murugayan, berasa mangsa terlalu lembap membuat kerja. Gaiyathiri kemudian menyerang dan menghentak kepala mangsa dengan botol sabun.

Mangsa terjatuh ke belakang, menjadi semakin keliru dan tidak dapat berdiri.

Gaiyathiri kemudian memanggil Prema dan bersama-sama mereka menyerang mangsa, menyimbah air pada mangsa.

Prema menyeret mangsa dari dapur melalui ruang tamu sehingga ke bilik tidur, di mana Gaiyathiri menendang mangsa pada bahagian perut dan Prema menumbuk serta mencekik beliau.

Mereka juga tidak membenarkan mangsa makan malam. Gaiyathiri kemudian mengikat pergelangan tangan mangsa pada jeriji tingkap sebelum tengah malam dan menendang mangsa pada bahagian perut, sebelum meninggalkan beliau di lantar dalam pakaian yang basah.

Sejak itu, Cik Piang Ngaih Don tidak lagi bangun. Pasangan ibu dan anak itu menghubungi doktor, berbohong tentang apa yang terjadi dan kemudian diberkas.

KESALAHAN MENGEJUTKAN, KEJAM

Pihak pendakwa meminta hukuman penjara 14 hingga 16 tahun untuk Prema, manakala peguam bela Rai Satish meminta hukuman 10 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Senthilkumaran Sabapathy berkata tempoh hukuman penjara tersebut diminta berdasarkan ciri-ciri kesalahan yang "mengejutkan dan kejam".

Beliau menyifatkan kes itu sebagai salah satu kes penderaan paling teruk terhadap pembantu rumah dalam sejarah Singapura, melibatkan kecederaan fizikal dan psikologikal yang sangat dahsyat dan "tahap kebersalahan yang luar biasa tinggi" oleh Prema.

Beliau menambah mangsa diserang hampir setiap hari dan menderita akibat "rasa malu dan hina yang sangat dahsyat".

Beliau diserang semasa sedang makan dan diheret dan dibanting di dalam rumah itu "seperti anak patung kain" dengan cara yang menunjukkan "langsung tiada rasa hormat" kepada mangsa sebagai seorang manusia, tegas pendakwa.

"Malah, kebanyakan daripada kita tidak akan memperlakukan objek tidak bernyawa seperti itu," kata beliau, sambil menambah mangsa langsung tidak dapat menggunakan tandas tanpa didera baik secara lisan mahupun fizikal.

"Hidupnya ibarat mimpi ngeri," ujar pendakwa itu lagi.

Sementara anak perempuan Prema mengalami masalah mental, Prema tidak mengalami masalah yang sama. Prema merupakan pihak yang sama-sama mendera dan tidak campur tangan untuk memberhentikan anak perempuannya daripada melakukan penderaan sejak dari awal lagi, tambah beliau.

Gaiyathiri dijatuhi hukuman penjara 30 tahun pada 2021. Rayuan yang dikemukan untuk mengurangkan separuh tempoh penjara itu ditolak oleh Mahkamah Agung.

Peguam Prema berkata terdapat juga masa-masa gembira semasa mangsa bekerja dengan keluarga itu.

Beliau berkata anak guamnya tahu, selepas enam bulan enam dan enam tahun ditahan reman, bahawa dia sudah melakukan kesalahan.

"Dia dibelenggu rasa bersalah. Anda boleh lihat kesihatannya dari segi fizikal sudah merosot agak banyak selepas direman - saya rasa ini disebabka rasa bersalah," kata beliau.

"Dia digambarkan sebagai seorang yang teruk dan kejam, saya rasa itu tidak adil," tambah peguam bela itu, sambil menambah terdapat detik-detik "kebaikan" juga.
Sumber : CNA/NK/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan