Skip to main content

Singapura

Wanita warga Sri Lanka terkait penipuan tempahan palsu SAF didakwa di mahkamah

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita warga Sri Lanka terkait penipuan tempahan palsu SAF didakwa di mahkamah

MINDEF menyatakan bahawa pihaknya sedia maklum mengenai tujuh kes tempahan palsu dan sudah membuat aduan polis.(Gambar: Facebook/Muhammad Shazain Faiha Muslim food paradise, Kiki Florist, Breaditation Bakery)

SINGAPURA: Seorang wanita berusia 22 tahun yang dikaitkan dengan siri tempahan palsu baru-baru ini, di mana mereka menyamar sebagai anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), didakwa di mahkamah pada Rabu (17 Sep).

Rajadi Rajasinghe Manamendra Patabadilage Vishwa Madavi merupakan orang pertama didakwa di mahkamah daripada tiga orang yang ditangkap berhubung kes tersebut.

Wanita warga Sri Lanka itu didakwa atas tuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer kerana bersubahat bersama seorang "individu yang tidak dikenali" untuk mendedahkan kata laluan log masuk akaun bank DBS miliknya bagi tujuan haram.

Dia membayangkan bahawa dia akan mengaku bersalah.

Pendakwa raya berkata akaun banknya "digunakan untuk penipuan online yang melibatkan pembelian pukal makanan".

Akaun banknya "digunakan untuk menerima jumlah wang yang besar," kata pendakwa raya.

Wanita itu direman dan hadir di mahkamah melalui pautan video dan memakai berbaju hitam berhiaskan kucing biru.

Dia mendengar prosiding melalui jurubahasa Sinhala dan memberitahu mahkamah bahawa dia berada di Singapura menggunakan pas pelajar.

Dia berkata akan cuba mendapatkan penjamin tetapi tidak pasti sama ada dia berhasil untuk memperolehinya.

Mahkamah menetapkan tarikh untuk dia mengaku bersalah pada 1 Oktober.

Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda sehingga S$50,000, atau kedua-duanya sekali.

Menurut kenyataan polis, Rajadi ditangkap bersama seorang lelaki berusia 31 tahun dan seorang lagi suspek lelaki berusia 16 tahun.

Mereka bertiga dipercayai bertindak atas arahan sindiket penipuan untuk memudahkan penipuan pesanan pukal palsu yang melibatkan penyamaran sebagai anggota SAF.

Sekurang-kurangnya lima kes dilaporkan sejak 4 September, dengan kerugian keseluruhan sekurang-kurangnya S$32,000, menurut polis.

Rajadi dipercayai menyerahkan akaun banknya kepada sindiket penipuan bagi keuntungan wang.

Pegawai dari Markas Antipenipuan Jabatan Ehwal Komersial (CAD) dan Divisyen Polis Central menjalankan serbuan di sekitar Middle Road, Woodlands Street 81 dan Cantonment Road pada Isnin dan Selasa, yang membawa kepada penangkapan ketiga-tiga suspek dan para pegawai juga merampas peranti elektronik dan kad prabayar.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita