Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita warga M'sia terkait nahas maut Tanjong Pagar didenda S$5,000, dilarang memandu 3 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita warga M'sia terkait nahas maut Tanjong Pagar didenda S$5,000, dilarang memandu 3 tahun

(Gambar: TODAY/Ili Nadhirah Mansor)

Diterbitkan : 03 Apr 2023 05:56PM Dikemas Kini : 03 Apr 2023 08:29PM
SINGAPURA: Seorang wanita yang memandu sebuah kereta BMW pada kelajuan tinggi sejurus sebelum kenderaan tersebut terlibat dalam nahas di Tanjong Pagar, yang meragut lima nyawa pada 2021, didenda S$5,000 pada Isnin (3 Apr). Dia juga diharamkan daripada memandu selama tiga tahun.

Ini setelah warga Malaysia, Phoo Yi Lin, 26 tahun, mengaku bersalah di sebuah mahkamah daerah atas satu tuduhan memandu secara berbahaya.
Dia merupakan antara tiga individu yang bergilir-gilir memandu kereta tersebut di sebuah kawasan sebelum pemilik kenderaan berkenaan, Jonathan Long Junwei, mengambil alih untuk memandu kereta itu dengan membawa bersamanya empat penumpang.

Long kemudian hilang kawalan ke atas kereta itu yang kemudian terbabas ke arah sebuah rumah kedai sebelum merempuh sebuah tiang sekitar pukul 5.40 pagi.

Kenderaan tersebut dijilat api, sekali gus mengorbankan kesemua lima individu yang berada di dalamnya.

Temanita Long, Raybe Oh, mengalami kelecuran teruk tatkala dia menghampiri kereta tersebut dalam percubaan untuk menyelamatkan kekasihnya.

Mahkamah koroner tahun lalu menyifatkan kematian kelima-lima individu tersebut sebagai peristiwa trafik yang malang.
APA YANG BERLAKU

Mahkamah diberitahu bahawa Phoo adalah sebahagian daripada sekumpulan individu yang berhimpun sekitar sebelum tengah malam pada 12 Februari 2021 di Ang Mo Kio, di mana mereka mengambil minuman keras.

Sekitar pukul 3.00 pagi pada hari berkenaan, kumpulan tersebut pergi ke sebuah restoran di Tanjong Pagar Road milik Encik Park Se Jin, yang merupakan sebahagian daripada kumpulan tersebut.

Kira-kira jam 5.00 pagi, kumpulan itu mula bersembang tentang kereta yang baru dibeli Long, sebelum beberapa daripada mereka bergilir-gilir membawa kereta tersebut meronda-ronda di sebuah kawasan yang berdekatan dengan restoran itu.

Kereta tersebut dipandu dari restoran Encik Park di Tanjong Pagar Road menghala ke Keppel, sebelum membuat pusingan-U di Enggor Street selepas Hotel Amara untuk menuju kembali ke Tanjong Pagar Road menghala ke Maxwell.

Ia kemudian membuat pusingan-U berdekatan dengan 37 Tanjong Pagar Road sebelum kembali ke restoran berkenaan.

Sebelum Phoo memandu kereta tersebut, Encik Park dan Eugene Yap Zheng Min sudah bergilir-gilir untuk memandu kereta itu. Yap merupakan salah seorang penumpang yang maut dalam kemalangan tersebut.

Beberapa bahagian daripada insiden berkenaan pada pagi itu dirakamkan sebuah kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera dalam sebuah teksi yang diletakkan di tempat berhampiran.

Menurut analisis Penguasa Sains Kesihatan (HSA) ke atas rakaman CCTV itu, Phoo didapati sedang memandu pada kelajuan purata antara 109 hingga 130 kilometer sejam di satu bahagian litar tersebut.

Mahkamah diberitahu bahawa analisis ke atas rakaman teksi tersebut menganggarkan bahawa dia memandu pada kelajuan antara 125 hingga 181 kilometer sejam di satu lagi bahagian litar tersebut.

Kedua-dua rakaman tersebut dipaparkan di mahkamah pada Isnin.

Bagi kesalahan memandu secara berbahaya, Phoo boleh dipenjara sehingga 12 bulan, didenda tidak melebihi S$5,000 atau dijatuhi kedua-dua hukuman tersebut.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan