Wanita warga China, 14 lagi orang dikenakan denda berhimpun pada Tahun Baru Cina 2021
Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: Jeremy Long)
SINGAPURA: Seorang wanita bersama dengan lagi 14 individu lain menyambut perayaan Tahun Baru Cina di sebuah unit pejabat tahun lalu, sedangkan di bawah undang-undang COVID-19 hanya lapan orang sekumpulan dibenarkan pada ketika itu.
Warga China, Lin Xiaofeng, 34 tahun dikenakan denda S$3,000 oleh mahkamah pada Isnin (7 Feb) kerana melanggar peraturan COVID-19.
Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan melanggar peraturan COVID-19 kerana berhimpun di dalam kumpulan lebih daripada lapan orang di luar rumahnya bagi tujuan yang tidak dibenarkan.
Tuduhan kedua dikenakan atas kesalahan meninggalkan rumahnya tanpa alasan yang munasabah turut diambil kira.
Mahkamah mendapati tiga daripada tertuduh yang bersubahat dengannya, Chua Li Jin, 32 tahun, Low Xiang Hua, 31 tahun dan Ethan Tan, 31 tahun sedang makan malam pada 24 Februari 2021 apabila Chua mencadangkan untuk mengadakan perhimpunan Tahun Baru Cina.
Chua menghubungi satu lagi tertuduh, Ong Hui Siong, 39 tahun yang bercadang untuk mengadakan perhimpunan di unit pejabat di 1 Pemimpin Drive.
Ong menghubungi beberapa orang untuk membantu menyediakan ruang bagi perhimpunan itu dan melayan tetamu. Beberapa tetamu yang dijemput mula hadir ke perhimpunan itu pada 21 Februari 2021, jam 9.00 malam.
Lin dijemput oleh Low, dia tiba di pejabat itu pada pukul 10.00 malam. Kumpulan itu bernyanyi karaoke dan meminum minuman keras.
Sekitar pukul 2.00 pagi, seseorang yang tidak dikenali membuat aduan polis mengenai "kegiatan mencurigakan" di 1 Pemimpin Drive.
Pegawai Polis tiba di lokasi tersebut dan mendengar bunyi muzik yang kuat daripada unit pejabat berkenaan. Ong membuka pintu pejabat tersebut. Kumpulan itu dilihat meminum minuman keras, bermain permainan dan bernyanyi karaoke di dalam unit tersebut.
Tidak ada langkah untuk mengekang penularan COVID-19, kata pihak pendakwa.
Pihak pendakwa dan pembelaan bersetuju bahawa Lin harus menerima hukuman yang sama seperti Low.
Pendakwa raya mengusulkan denda S$3,000 buat Lin, dan mengatakan bahawa kes itu melibatkan perhimpunan sosial lebih daripada lapan orang di tempat tertutup, di mana peraturan COVID-19 "dilanggar secara bebas".
Atas kesalahan melanggar peraturan COVID-19, dia boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.
Kebanyakan daripada 14 tertuduh sudah dikenakan denda S$3,000 setiap seorang, kecuali Ong, yang merupakan penyewa ruang pejabat itu. Dia didenda S$12,000 pada November.
Dua lagi tertuduh, Joseph Lim Si Swee dan Lim Weitzien, masing-masing didenda S$6,000. Mereka membantu Ong menyediakan ruang untuk perhimpunan itu dan dikenakan caj tambahan di bawah Akta Hiburan Awam dan Akta Kawalan Minuman keras (Pembekalan dan Penggunaan).
Kes-kes lain belum dibicarakan lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.