Wanita uzur ini hadiahkan jam tangan Casio pemberian McDonald's sebagai penghargaan kerana beri barang dapur
Meskipun kehidupannya sendiri cuma seadanya saja, bahkan bergantung kepada ihsan dan simpati orang lain, namun ia tidak sekali-kali menghalang insan ini daripada menghadiahkan satu-satunya benda yang beliau miliki.
SINGAPURA: Meskipun kehidupannya sendiri cuma seadanya saja, bahkan bergantung kepada ihsan dan simpati orang lain, namun ia tidak sekali-kali menghalang insan ini daripada menghadiahkan satu-satunya benda yang beliau miliki.
Cik Sheena Ling, seorang rakyat Singapura berkongsi dalam satu catatan Facebook pada 28 April mengenai seorang warga emas yang sanggup menghadiahkan jam tangan Casio yang diberikan oleh McDonald's setelah lima tahun beliau berkhidmat di restoran makanan segera itu.
Menurut Cik Sheena, beliau akan menziarahi wanita uzur itu dan kakaknya setiap minggu untuk memberikan barang-barang dapur.
Menurut Cik Sheena, beliau membantu mereka kerana tempat di mana warga tua itu mendapat hidangan percuma pada hari-hari biasa, sudah berhenti operasi sepanjang tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 yang lebih ketat ini.
Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, pendapatan warga tua itu turut terjejas kerana beliau tidak lagi bekerja setelah McDonald's (tempat beliau bekerja) ditutup buat sementara waktu semasa pandemik COVID-19 ini.
MINUMAN RIBENA PERCUMA
Menurut Cik Sheena, setiap kali beliau memberikan barang-barang dapur itu kepada warga emas tersebut, beliau akan sentiasa memberikan beberapa paket Ribena kerana tidak mahu menerima pemberian Cik Sheena secara percuma.
Warga emas itu memperolehi minuman Ribena tersebut secara percuma di McDonald's.
Namun disebabkan beliau tidak lagi bekerja di restoran makanan segera itu, beliau kini kehabisan minuman Ribena, justeru tidak memiliki apa-apa untuk diberikan sebagai tanda penghargaan kepada Cik Sheena.
JAM TANGAN CASIO
Tanpa diduga Cik Sheena, warga emas itu memberikan jam tangan Casio yang dihadiahkan McDonald's kepadanya.
Menurut Cik Sheena, pada awalnya beliau enggan menerima jam tangan tersebut namun didesak supaya menerimanya oleh warga emas itu. Bahkan warga senja itu mendakwa bahawa beliau tidak lagi dapat melihat waktu pada jam tersebut kerana ia terlalu kecil untuknya, justeru tiada sebab untuk terus menyimpannya.
Keluhuran warga emas itu benar-benar menyentuh hati Cik Sheena kerana meskipun hidup dalam serba kekurangan, warga emas itu tidak teragak-agak untuk menghadiahkan jam tangan Casio yang dimilikinya itu.
"Antara jam tangan Casio bernilai S$20 dengan jam tangan Swatch saya yang bernilai S$200, kita semua tahu, bahawa Casio sudah pastinya lebih bernilai dan berharga," kata Cik Sheena sebelum mengakhiri catatannya itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.