Wanita terlibat serangan balas dendam 'Hari Raya' mengaku bersalah
Seorang wanita mengaku bersalah pada Khamis (3 Jan) kerana penglibatannya dalam serangan balas dendam ke atas dua adik beradik yang menyebabkan mereka mengalami kelecuran tahap kedua akibat disimbah air panas.

Tiga orang serang seorang lelaki dan saudara perempuannya di Spooner Road pada Julai 2018. (Petikan gambar: Fiona Poh/YouTube)
SINGAPURA: Seorang wanita mengaku bersalah pada Khamis (3 Jan) kerana penglibatannya dalam serangan balas dendam ke atas dua adik beradik yang menyebabkan mereka mengalami kelecuran tahap kedua akibat disimbah air panas.
Mahkamah diberitahu pekerja pembersihan sambilan Nurhanifah Juma'at, 27, melakukan serangan itu bersama rakannya Norhayati Jaffar dan saudara lelaki Norhayati, Muhammad Bakhtiyar Jaffar.
Norhayati mahu membalas dendam terhadap Muhammad Faizal Omar, 27 tahun, selepas menonton klip video yang menunjukkan seorang lagi saudara lelakinya diserang oleh Faizal dan saudara-maranya.
Adik Faizal, Nur Farahtika Omar, 25, juga dirakam dalam video tersebut, yang ditunjukkan kepada Norhayati semasa satu sambutan Hari Raya pada 7 Julai tahun lepas.
Norhayati berkomplot untuk menjemput Faizal dan adiknya ke rumahnya pada hari itu, kononnya untuk menyambut Hari Raya. Dia kemudian memberitahu Nurhanifah tentang rancangannya dan memintanya untuk merakam serangan itu.
Para mangsa tiba lewat tengah malam pada 8 Julai bersama dua orang rakan lain. Norhayati kemudian mengunci pintu dan mula menyerang.
Dia berulang kali memukul Farahtika dengan kayu buluh dan memijak perutnya, manakala Nurhanifah merakam serangan itu menggunakan telefon, kata Timbalan Pendakwa Raya Sheryl Yeo.
Norhayati kemudian mencapai sebuah jag air panas lalu menuangnya ke leher, belakang dan telinga Farahtika, sebelum menghentam leher mangsa dengan jag tersebut.
Farahtika berjaya melarikan diri dengan dua rakannya, meninggalkan abangnya di belakang.
Faizal berulang kali dipukul dan ditendang oleh Bakhtiyar. Norhayati bersama saudara lelakinya turut menyerang dan memukul Faizal berulang kali dengan kayu buluh. Dia kemudian menuang air panas ke atas Faizal.
Mangsa berjaya melarikan diri dari flat itu dan Norhayati mencarinya, dirakam Nurhanifah.
Video Nurhanifah itu tular di wadah online. Dia mengaku terlibat dalam serangan itu dan merupakan orang pertama daripada tiga individu terbabit yang mengaku bersalah.
Dia akan dihadapkan lagi ke mahkamah bagi penjatuhan hukuman minggu depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.