Wanita Taiwan didakwa kerana bersin ke arah wanita lain di ION Orchard; terjerit-jerit pada mangsa
Seorang wanita didakwa di mahkamah pada Rabu (22 Apr) kerana menyebabkan gangguan pada seorang wanita lain minggu lalu dengan membersin ke arah mangsa dan kemudian menjerit-jerit padanya.

ION Orchard pada 7 Jun 2018. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)
SINGAPURA: Seorang wanita didakwa di mahkamah pada Rabu (22 Apr) kerana menyebabkan gangguan pada seorang wanita lain minggu lalu dengan membersin ke arah mangsa dan kemudian menjerit-jerit padanya.
Warga Taiwan Sun Szu-Yen, 46 tahun, berada di pintu masuk ION Orchard pada sekitar 4.45 petang, 12 April lalu.
Dia didakwa membersin ke arah Devika Rani Muthu Krishna.
Dia juga dituduh menjerit-jerit dan berkata "diam, tutup mulut anda" pada mangsa dengan niat ingin mengganggu Cik Devika.
Sun dikenakan tuduhan kedua yang tiada kaitan dengan tuduhan pertama kerana bertindak terburu-buru dan membahayakan keselamatan orang lain pada Jun tahun lalu.
Dia dituduh membaling model glob, kerusi plastik, pembersih vakum, botol kaca dan beberapa batang pensil dari tingkat tiga Kondominium Fifth Avenue kira-kira pukul 10.00 malam pada 2 Jun 2019.
Sun berkata dia akan meminta untuk dibicarakan tetapi tidak akan mendapatkan khidmat seorang peguam sambil menambah: "Saya boleh membela diri saya sendiri."
Sun akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada 29 April.
Atas kesalahan menyebabkan gangguan dengan menunjukkan tingkah laku kasar dan menggunakan kata-kata menghina, Sun boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya.
Bagi tindakan terburu-buru yang membahayakan keselamatan orang lain, dia boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$2,500 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.