Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita skizofrenia dibebaskan dari tuduhan bunuh anak 8 tahun dikurung di IMH sejak Nov 2022

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita skizofrenia dibebaskan dari tuduhan bunuh anak 8 tahun dikurung di IMH sejak Nov 2022

Mahkamah Tinggi di Singapura pada 9 Nov 2021. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

SINGAPURA: Seorang wanita dengan skizofrenia, yang dibebaskan daripada pertuduhan membunuh anak perempuannya yang berusia 8 tahun, dikurung di Institut Kesihatan Mental (IMH) sejak November tahun lalu dan akan terus ditahan di sana selama tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan.

Wanita itu mengaku bersalah pada September 2022 atas satu pertuduhan membunuh tetapi dibebaskan daripada pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 251 Kanun Prosedur Jenayah kerana dia didapati tidak waras ketika melakukan kesalahan itu.

Hakim mengarahkan dia diletakkan di bawah jagaan selamat di penjara dan bagi tersebut untuk dilaporkan kepada menteri.

Mengikut Seksyen 252 Kanun Prosedur Jenayah, menteri kemudian boleh mengarahkan supaya dia dikurung di sebuah institusi psikiatrik, penjara atau tempat lain yang sesuai untuk jagaan selamat mengikut budi bicara Presiden.

Kementerian Undang-undang memberitahu Mediacorp pada Jumaat (13 Jan) bahawa Menteri Undang-undang, selepas mempertimbangkan pendapat seorang pengamal perubatan yang ditetapkan, mengarahkan supaya wanita itu dikurung di IMH pada 8 November 2022 untuk tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan.

Di bawah undang-undang, kes wanita itu akan dinilai sekurang-kurangnya sekali pada setiap enam bulan oleh dua orang - sekurang-kurangnya seorang daripadanya adalah pengamal perubatan - untuk menilai keadaan mentalnya dan sama ada terdapat sebarang risiko mencederakan dirinya sendiri atau orang lain jika dia dibebaskan.

Dalam memutuskan sama ada dia boleh dibebaskan, Menteri Undang-undang akan mempertimbangkan pandangan pegawai ketua serta pelawat IMH dan mungkin juga mengambil kira faktor-faktor lain seperti sifat dan kemudaratan tindakan yang dilakukan, menurut Kementerian Undang-undang.

Sekiranya wanita itu dinilai sebagai tidak layak untuk dibebaskan, satu permohonan kepada mahkamah boleh dibuat sebelum tamat tempoh pengurungan untuk melanjutkannya sehingga 12 bulan lagi, tambah kementerian itu.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan