Skip to main content

Singapura

Wanita SG yang dibunuh di Sepanyol: DNA 2 lelaki ditemui pada pakaian mangsa

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita SG yang dibunuh di Sepanyol: DNA 2 lelaki ditemui pada pakaian mangsa

Wanita SG Audrey Fang, 39 tahun, ditemui maut akibat 30 kesan tikaman berhampiran kawasan letak kereta bagi lori di bandar Abanilla di Sepanyol pada 10 April, 2024. (Gambar: Facebook/Fang Dirou).

Diterbitkan : 04 Mar 2025 05:34PM Dikemas Kini : 04 Mar 2025 05:42PM
SINGAPURA: DNA daripada dua lelaki ditemui pada pakaian seorang wanita yang dibunuh di Sepanyol, menurut laporan akhbar tempatan pada Selasa (4 Mac).

Tubuh Audrey Fang ditemui pada April 2024 dengan lebih 30 kesan tikaman. Mitchell Ong, yang juga seorang warga Singapura, disyaki membunuhnya.

La Opinion de Murcia melaporkan pada Selasa bahawa DNA tersebut ditemui pada pakaian dan paha Cik Fang.

Analisis mendalam pada sampel-sampel yang dihantarkan kepada sebuah makmal di Madrid menunjukkan bahawa DNA itu milik dua orang lelaki, menurut laporan berita, memetik sumber yang mengikuti kes.

Laporan forensik menunjukkan "tiada kesan sperma dikesan" pada sampel.

Namun DNA lelaki ditemui dalam jumlah kecil pada beberapa swab yang diambil dari paha dan pada pelbagai bahagian pakaian dalam yang dipakai oleh Ms Fang.

Kesan DNA hanya dikesan pada bahagian tubuh berkenaan, menurut laporan La Opinion.

Ia menambah bahawa "dua profil genetik lelaki separa yang berbeza" dikenal pasti, dan profil tersebut kini perlu dibandingkan dengan sampel dari Ong untuk menentukan sama ada ia sepadan.

Peguam bela María Jesús Ruiz de Castañeda berkata laporan forensik memnimbulkan kemungkinan bahawa individu lain mungkin terlibat dalam kematian Cik Fang.

Beliau memberitahu La Opinion bahawa sejak permulaan prosiding undang-undang, Ong "dengan tegas dan konsisten" mengekalkan bahawa dia tidak membunuhnya.

Beliau berkata "semua bukti yang diperlukan" perlu diperiksa.

APA YANG TERJADI

Cik Fang sedang melancong bersendirian di Sepanyol apabila mayatnya ditemui berhampiran kawasan letak kereta untuk lori di bandar Abanilla pada 10 April 2024.

Laporan bedah siasat awal mendapati bahawa luka pisau dan trauma kepala adalah punca kematiannya, seperti yang dilaporkan.

Ong, yang ditangkap enam hari selepas mayat Cik Fang ditemui, menjadi satu-satunya suspek dalam pembunuhannya.

Kamera televisyen litar tertutup di hotel tempat penginapannya menunjukkan bahawa dia keluar sekitar jam 5.45 petang pada 9 April 2024, berpakaian 'hoodie' dan seluar hitam.

Laman berita tempatan La Verdad sebelum ini memetik pendakwa raya mengatakan bahawa Ong memandu Cik Fang ke tempat letak kereta berhampiran sebuah restoran di Abanilla pada pukul 11.00 malam pada 9 April, sebelum kereta itu meninggalkan tempat itu pada jam 11.45 malam.

Menurut laporan itu, pendakwa raya percaya Cik Fang tidak lagi berada di dalam kereta semasa ia meninggalkan tempat letak kereta.

Ong kembali ke hotel sekitar jam 2.00 pagi pada 10 April, memakai seluar jeans dan baju sejuk biru.

Polis Sepanyol sudah membuktikan bahawa telefon bimbit Cik Fang dan Ong ada bersama di Abanilla pada hari dia meninggal dunia, seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan Levante El Mercantil Valenciano sebelum ini.

Menurut hakim yang mengendalikan kes ini, ia disimpulkan "tanpa ragu" bahawa kedua-dua rakyat Singapura itu berada di kawasan yang sama dan dalam waktu yang sama pada hari jenayah itu dilakukan, berdasarkan data yang diberikan oleh pengendali telefon bimbit di Abanilla.

Ong dan Cik Fang mengenali antara satu sama lain selama lebih 10 tahun dan dia dijadikan penerima Tabung Simpanan Pekerja (CPF) - skim simpanan keselamatan sosial wajib - kira-kira enam bulan sebelum kematiannya.

Semasa Cik Fang menamakan Ong sebagai penerimanya, hampir S$200,000 dimasukkan ke dalam akaun CPF beliau.

Encik Manuel Martinez, peguam yang mewakili keluarga Cik Fang, berkata sebelum ini bahawa akaun CPF wanita berusia 39 tahun itu mempunyai lebih €430,000 (S$608,065).

Pada Februari, La Verdard melaporkan bahawa pendakwa raya sedang memohon agar Ong dikenakan tuduhan bunuh, dengan pendakwaan persendirian menyatakan terdapat "bukti jenayah yang mencukupi" untuk membawanya ke perbicaraan.

Sekalipun demikian, pihak pembela meminta agar kes itu ditolak dan meminta prosiding baharu, termasuk analisis pakar bebas terhadap telefon Ong dan keterangan beliau sendiri.

Peguam Ong berhujah bahawa adalah perlu untuk menjalankan pelbagai ujian dalam kes ini, dan bahawa Ong tidak dapat menghubungi keluarganya.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita