Wanita SG maut dalam kemalangan 'gokart' di Batam
Tempat main 'go-kart' di Golden Prawn, Bengkong, Batam. (Gambar: Google Maps)
BATAM: Seorang rakyat Singapura berusia 33 tahun meninggal dunia selepas mengalami kemalangan semasa bermain 'gokart' di Golden Prawn, Bengkong, Batam, Indonesia.
Kes ini kini sedang disiasat polis tempatan.
"Benar, kejadian berlaku pada sekitar jam 3.30 petang (waktu Indonesia Barat). Korban merupakan warganegara asing yang berasal dari Singapura," kata Pesuruhjaya Polis Daerah Kabid Humas Kepulauan Riau, Zahwani Pandra Arsyad pada Rabu (21 Feb) kepada agensi berita Detik Sumut.
Encik Zahwani turut mendedahkan kronologi insiden malang itu.
Mangsa dikatakan bermain 'gokart' di Golden City Go Kart, Bengkong. Kenderaan yang dipandu pula bernombor '14'.
"Seorang saksi melihat mangsa membawa kereta 'gokart' bernombor 14 dan membuat dua pusingan (di litar). Kereta dibawa dengan laju lalu melanggar pembatas laluan dalam litar 'go-kart'," terangnya.
Saksi, yang bekerja di ruang permainan berkenaan, lantas mendekati mangsa.
Menurutnya, topi keledar yang dipakai wanita terbabit sudah tercabut sementara rambut panjangnya pula terlilit dan tersangkut pada 'gokart' yang dipandu.
Mangsa selanjutnya dikejarkan ke sebuah klinik.
Malangnya beliau disahkan sudah meninggal dunia di sana.
"Korban pada awalnya dibawa ke Klinik Budi Kemuliaan Golden Prawn dan beliau disahkan meninggal dunia lalu dibawa ke Hospital Budi Kemuliaan pula," kata Encik Zahwani.
Beliau menambah, pihaknya sedang menjalankan siasatan dan seandainya berlaku sebarang kelalaian, tindakan undang-undang akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab.
"Polis Pusat Peranginan Barelang sedang menjalankan siasatan. Jika kami mendapati kelalaian oleh pengendali, tindakan undang-undang akan diambil. Pada dasarnya, para pengendali tempat-tempat daya tarikan pelancong harus mempunyai SOP yang menjaga sekitaran, kesihatan dan keselamatan (para pengunjung)," tegas beliau kepada Detik Sumut.
"Setiap pengendali sebegitu saat menjalankan tugas harus mengawas dan mengendalikan tempat yang dikunjungi pelancong."
Menurut Detik Sumut, keluarga wanita yang terkorban itu akan membawa pulang jenazahnya ke Singapura pada awal pagi Khamis (22 Feb).
Syarikat pengurusan jenazah di Batam, PT Md Akbar mengesahkan kepada BERITA Mediacorp bahawa pihaknya kini berada di Batam dengan keluarga mangsa dan syarikatnya akan mengendalikan persiapan untuk membawa pulang jenazah ke Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.