Skip to main content

Singapura

Wanita SG dilapor hilang di Kemboja ditemui selamat; polis bekerjasama dengan pihak berkuasa Kemboja

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita SG dilapor hilang di Kemboja ditemui selamat; polis bekerjasama dengan pihak berkuasa Kemboja

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 31 Jul 2026 11:20PM
  • Siti Aishah Siregar, pelajar Politeknik Nanyang, dilaporkan hilang selepas dipercayai ke Kemboja pada 28 Julai tanpa pengetahuan keluarganya.
  • Kehilangannya mendapat perhatian selepas keluarganya membuat rayuan di media sosial dan mendapati akaun media sosial serta pasportnya tiada.
  • Polis Singapura bekerjasama dengan pihak berkuasa Kemboja, MFA dan Kedutaan Singapura di Phnom Penh untuk membantu pencarian dan memberi sokongan konsular.
  • Aishah ditemui selamat di Kemboja, dipercayai ke sana untuk bertemu seseorang yang dikenalinya dan telah membuat beberapa pemindahan wang sejak tahun lalu.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Seorang wanita warga Singapura berusia 20 tahun yang dilaporkan hilang selepas dipercayai meninggalkan negara ini untuk ke Kemboja ditemui dalam keadaan selamat oleh polis Kemboja.

Dalam kenyataan kepada media pada lewat malam Jumaat (31 Jul), Pasukan Polis Singapura (SPF) memaklumkan bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan rakan sejawatan mereka di Kemboja bagi mendapatkan maklumat lanjut serta menghulurkan bantuan sewajarnya.

"Kementerian Ehwal Luar (MFA) serta Kedutaan Singapura di Phnom Penh juga sedang memberikan sokongan konsular kepada keluarga mangsa. Polis turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Kemboja atas bantuan pantas mereka," menurut SPF.

Siti Aishah Siregar Sahat Siregar sebelum ini dipercayai berlepas bersendirian ke Kemboja pada 28 Julai.

Kes kehilangan Aishah mendapat perhatian ramai selepas bapanya, Sahat Siregar, dan ibu saudaranya, Lynn Siregar, membuat rayuan di media sosial agar orang ramai tampil dengan sebarang maklumat mengenai keberadaannya.

Keluarganya sebelum ini memaklumkan bahawa mereka tidak mengetahui sebarang rancangan atau sebab Aishah berada di Kemboja.

Menurut abang sulungnya, Syafiq Siregar, Aishah yang merupakan pelajar tahun ketiga di Politeknik Nanyang (NYP) memaklumkan kepada ibunya pada pagi 28 Julai bahawa beliau mahu ke sekolah seperti biasa.

Namun apabila keluarganya cuba menghubunginya pada petang hari itu untuk menjemputnya pulang, mereka gagal menghubunginya. Mereka kemudian mendapati akaun WhatsApp dan Telegram Aishah telah dipadam, manakala pasportnya juga tiada di rumah.

Siasatan keluarga kemudian membawa kepada penemuan tempahan tiket penerbangan ke Phnom Penh menerusi akaun emelnya. Mereka juga percaya Aishah ke Kemboja untuk bertemu seseorang yang dikenalinya.

Keluarganya turut mendakwa Aishah telah membuat beberapa pemindahan wang berjumlah lebih AS$1,000 kepada individu tersebut sejak November tahun lalu.

Polis Singapura sebelum ini mengesahkan bahawa Aishah telah meninggalkan Singapura melalui penerbangan dan satu laporan polis telah dibuat berhubung kehilangannya.
Sumber : BERITA Mediacorp/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita