Skip to main content

Singapura

Wanita SG dibunuh di Sepanyol: Polis minta mahkamah ekstradisi suspek ke SG

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita SG dibunuh di Sepanyol: Polis minta mahkamah ekstradisi suspek ke SG

Mitchell Ong (kiri) disyaki membunuh rakyat Singapura Audrey Fang di Sepanyol. (Gambar: Instagram/strongestasian, Facebook/Fang Dirou)

SINGAPURA: Polis imigresen Sepanyol meminta agar seorang lelaki warga Singapura yang disyaki membunuh seorang warga senegaranya di negara itu diekstradisi ke Singapura, menurut laporan media di negara berkenaan pada Jumaat (2 Mei).

Mitchell Ong disyaki membunuh Audrey Fang semasa beliau bercuti di Sepanyol. Mayatnya ditemui dengan lebih 30 luka tikaman pada April 2024.

Comisaria General de Extranjeria y Fronteras, yang merupakan sebahagian daripada Polis Sepanyol, meminta Ong diekstradisi dari negara itu kerana dia berada di sana secara haram, menurut laporan media Sepanyol, La Verdad.

Ia juga meminta agar Ong dilarang memasuki negara itu selama 10 tahun.

Pihak pendakwa yang mewakili keluarga Cik Fang telah bersetuju dengan permintaan ekstradisi itu, menurut laman berita Sepanyol, La Opinion de Murcia.

Di Sepanyol, mangsa boleh mendapatkan khidmat peguam untuk bertindak sebagai pihak pendakwa dan mereka boleh antara lain mengemukakan bukti, memohon kenyataan atau mengusulkan pertuduhan.

Mereka juga berasingan daripada pihak pendakwa awam.

Ong kini ditahan di penjara Sangonera di Murcia, menurut laporan La Opinion de Murcia.

Peguam bela Maria Jesus Ruiz de Castaneda membantah permintaan ekstradisi itu dan meminta agar ia digantung serta-merta, menurut La Opinion de Murcia.

Ong terlibat dalam prosiding jenayah aktif di Sepanyol, di mana dia mesti diadili dengan semua jaminan undang-undang yang sewajarnya, hujah peguam itu, sambil berkata bahawa dengan mengekstradisi Ong, ini bermakna dia mengelak proses kehakiman di Sepanyol.

Beliau juga berkata ekstradisi Ong bertentangan dengan Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia.

Mediacorp telah menghubungi Cik Ruiz de Castaneda, serta Comisaria General de Extranjeria y Fronteras untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai permintaan ekstradisi itu.

RENTETAN KEJADIAN

Cik Fang sedang melancong bersendirian di Sepanyol apabila mayatnya ditemui pada 10 April tahun lalu berhampiran kawasan letak kenderaan untuk lori di bandar Abanilla.

Media Sepanyol melaporkan bahawa laporan bedah siasat awal mendapati bahawa luka tikaman dan trauma pada bahagian kepala menjadi punca kematiannya.

Ong diberkas beberapa hari kemudian selepas rakaman kamera menunjukkan Cik Fang dijemput dari hotelnya dalam kereta yang dipercayai dipandu oleh tertuduh.

Dia masih belum membuat kenyataan mengenai kes itu.

Kedua-dua pejabat pendakwa raya Sepanyol dan pihak pendakwa telah meminta agar dia didakwa atas kesalahan membunuh.

Ong dan Cik Fang saling mengenali satu sama lain selama lebih 10 tahun dan lelaki itu telah dijadikan pewaris Tabung Simpanan Pekerja (CPF) Cik Fang kira-kira enam bulan sebelum kematiannya.
Sumber : CNA/Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita