Skip to main content

Singapura

Wanita SG dibunuh di Sepanyol: Hakim tolak permintaan ekstradisi atas keprihatinan terhadap hukuman mati

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita SG dibunuh di Sepanyol: Hakim tolak permintaan ekstradisi atas keprihatinan terhadap hukuman mati

Mitchell Ong (kiri) disyaki membunuh rakyat Singapura Audrey Fang di Sepanyol. (Gambar: Instagram/strongestasian, Facebook/Fang Dirou)

SINGAPURA: Seorang hakim di Sepanyol menolak permintaan untuk mengekstradisi seorang lelaki warga Singapura yang disyaki membunuh rakan senegaranya di negara itu ke Singapura atas keprihatinan terhadap hukuman mati.

Mitchell Ong disyaki membunuh Cik Audrey Fang semasa dia bercuti di Sepanyol. Mayat wanita itu ditemui dengan lebih 30 kesan tikaman pada April 2024.

Keputusan itu dibuat oleh seorang hakim mahkamah di Cieza, menurut laman berita Sepanyol La Opinion de Murcia pada Rabu (28 Mei).

Dalam keputusan itu, hakim menegaskan bahawa permintaan untuk mengekstradisi tertuduh tidak memenuhi syarat yang digariskan di bawah Perkara 57.7 Undang-undang Organik Sepanyol, yang menetapkan hak dan kebebasan warga asing di Sepanyol dan integrasi sosial mereka.

Peguam bela Maria Jesus Ruiz de Castaneda sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa beliau telah menentang permintaan ekstradisi itu.

Pihak pembela berhujah bahawa ekstradisi Ong dari Sepanyol akan melanggar prinsip asas kedaulatan undang-undang dan perjanjian antarabangsa yang ditandatangani oleh Sepanyol.

Singapura mengekalkan hukuman mati bagi beberapa kesalahan, termasuk pembunuhan.

Permintaan itu telah difailkan oleh Comisaria General de Extranjeria y Fronteras, yang merupakan sebahagian daripada Polis Negara Sepanyol. Ia disokong oleh keluarga mangsa melalui pendakwaan peribadi mereka.

Di Sepanyol, mangsa boleh mendapatkan khidmat peguam untuk bertindak sebagai pendakwa privet dan mereka boleh mengemukakan bukti, meminta keterangan atau mengusulkan tuduhan.

APA YANG BERLAKU?

Cik Fang bercuti sendirian di Sepanyol apabila mayatnya ditemui pada 10 April tahun lalu berhampiran kawasan tempat letak lori di bandar Abanilla.

Media Sepanyol melaporkan bahawa laporan bedah siasat awal mendapati luka pisau dan trauma pada bahagian kepala menjadi punca kematiannya.

Ong diberkas beberapa hari kemudian selepas rakaman kamera menunjukkan Cik Fang dijemput dari hotelnya dengan sebuah kereta yang dipercayai telah dipandu oleh tertuduh.

Tertuduh masih belum memberikan keterangan mengenai kes itu. Kedua-dua pejabat pendakwa raya Sepanyol dan pihak pendakwa privet telah meminta dia didakwa atas tuduhan membunuh.

Ong dan Cik Fang mengenali satu sama lain selama lebih 10 tahun dan dia telah dijadikan sebagai pewaris Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mangsa - kira-kira enam bulan sebelum kematiannya.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita