Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita SG dibunuh di Sepanyol: Hakim minta maklumat perbankan, insurans daripada pihak berkuasa SG

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita SG dibunuh di Sepanyol: Hakim minta maklumat perbankan, insurans daripada pihak berkuasa SG

Gambar: EPA, Facebook/Fang Dirou

Diterbitkan : 13 May 2024 11:13AM Dikemas Kini : 13 May 2024 01:28PM
SINGAPURA: Seorang hakim di Sepanyol telah meminta maklumat perbankan dan insurans daripada pihak berkuasa Singapura ketika penyiasat meneliti kemungkinan "motif bersifat ekonomi" bagi pembunuhan warga Singapura Audrey Fang.

Suspek, Mitchell Ong, 43 tahun, ditangkap pada 16 Apr kerana disyaki membunuh Cik Fang ketika dia sedang bercuti di Sepanyol. Mayatnya ditemui pada 10 Apr dengan 30 kesan tikaman kira-kira 150km dari hotel tempat dia menginap.

Menurut laporan oleh saluran berita Sepanyol La Verdad pada Isnin (13 Mei), hakim telah meminta pihak berkuasa Singapura untuk memberikan maklumat perbankan - termasuk pergerakan dana dan akaun dibuka oleh kedua-dua suspek dan mangsa.

Mahkamah diberitahu bahawa maklumat ini "relevan", selepas pasukan penyiasat menemui maklumat di dalam i-Pad Cik Fang bahawa beliau telah menamakan seorang yang tidak dikenali sebagai bakal penerima wang dalam Tabung Simpanan Pekerja (CPF) beliau.

Nota bertarikh 24 Mac itu menyatakan bahawa Cik Fang memutuskan untuk menamakan orang berkenaan yang disifatkan sebagai "rakan lama dan orang yang boleh dipercayai". Ia juga menyebut pinjaman sebanyak AS$50,000 (S$68,000) yang diberikan kepada Cik Fang kerana persahabatan mereka yang lalu.

Hakim juga meminta maklumat tentang polisi insurans hayat Cik Fang - termasuk dana, aset dan waris daripada pihak berkuasa Singapura.

Beliau juga ingin tahu sama ada Ong mempunyai rekod jenayah lampau di Singapura.

Pihak berkuasa telah diarahkan untuk memaklumkan kepada Konsulat di Sepanyol tentang permintaan mahkamah supaya mereka boleh mendapatkan maklumat itu "dengan cara paling cepat".
Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan