Wanita SG dibunuh di Sepanyol: DNA dikaitkan dengan suspek ditemui pada tubuh mangsa
Para pakar forensik di Sepanyol berkata DNA yang dikaitkan dengan rakyat Singapura, Mitchell Ong, yang disyaki membunuh rakan senegaranya, Audrey Fang di Sepanyol, ditemui pada tubuh mangsa.
Mitchell Ong (kiri) disyaki membunuh warga Singapura Audrey Fang di Sepanyol. (Gambar: Instagram/strongestasian, Facebook/Fang Dirou
Satu laporan oleh Institut Kebangsaan Toksikologi dan Sains Forensik menyatakan DNA itu ditemui pada pakaian dalam Cik Fang dan bahagian kelengkangnya, menurut laman berita Sepanyol La Opinion de Murcia, yang menukil sumber rapat dengan kes berkenaan.
Cik Fang ketika itu sedang bercuti seorang diri di Sepanyol apabila mayatnya ditemui berhampiran kawasan letak kenderaan bagi lori di bandar Abanilla pada 10 April 2024.
Ong sebelum ini mengaku membawa Cik Fang ke kawasan itu, namun dia menafikan telah membunuh wanita itu.
Laporan forensik menemui dua profil DNA lelaki.
Salah satu daripadanya, yang digelar "Lelaki 1", sepadan dengan haplotip kromosom Y daripada keturunan bapa Ong, lapor La Opinion de Murcia pada Rabu (18 Jun).
Namun, peguam bela Maria Jesus Ruiz de Castaneda Sancho menolak penemuan tersebut, sambil berkata penanda genetik tu dikongsi oleh kesemua lelaki yang sama keturunan denga bapa Ong dan tidak boleh digunakan untuk mengenal pasti seseorang individu secara konklusif.
Profil DNA kedua yang digelar sebagai "Lelaki 2", tidak sepadan dengan DNA Ong, sekali gus menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya dua lelaki terlibat dalam sampel yang dianalissi, menurut peguam itu.
"Bukti yang dikumpulkan tidak memadai untuk kita membuat kesimpulan bahawa dia terlibat dalam kejadian itu, tetapi sebaliknya ia mengukuhkan keperluan meluaskan siasatan kepada individu-individu lain yang berkemungkinan terlibat," kata Cik Ruiz.
Ong masih menegaskan bahawa dia tidak bersalah dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Sepanyol, menurut peguamnya, sambil mengulangi hujahannya bahawa laporan itu tidak berupaya mengaitkan mana-mana DNA yang ditemui dengan Ong.
Ong masih berada dalam tahanan dan tidak akan dihantar pulang ke Singapura selepas mahkamah Sepanyol pada bulan lalu, menolak permohonan untuk dia dihantar pulang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.