Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita sembur racun serangga pada burung Jambul peliharaan jiran dibicarakan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang wanita dibicarakan pada Khamis (26 Jan) kerana didapati menyembur racun serangga pada seekor burung dalam sangkar yang dipelihara jirannya, dengan menggunakan kipas yang meniup kabus racun ke atas dari tingkap flatnya. Ia menyebabkan burung itu mengalami masalah batuk dan kesukaran untuk bernafas.

Chee Huiru, seorang wanita warga Singapura berusia 40 tahun, tidak diwakili peguam dan mencabar dakwaan menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak perlu pada seekor burung Jambul di bawah Akta Haiwan dan Burung.

Cik Siti Kamariah Mahli memberi keterangan bahawa suaminya, Encik Rahmat Ismail yang berjalan lalu di Blok 133, Edgedale Plains pada petang 11 Nov 2021, memberitahunya tentang "perbuatan khianat pada burung peliharaan suami saya."

Dia menghubungi Persatuan Cegah Kekejaman Ke Atas Binatang (SPCA) Singapura untuk bertanya tentang cara melaporkan kes berhubung kekejaman haiwan.

Dia diminta untuk menghantar laporan maklum balas haiwan di bawah NParks, dan berbuat demikian.

Pada 25 November 2021, seorang pegawai dari NParks pergi ke flat Cik Siti untuk mengambil keterangan dan beberapa gambar burung tersebut. Dia juga mengambil gambar flat di bawah, yang mana kipas tersebut kelihatan masih diletakkan di luar tingkap bilik utama flat tersebut.

Hanya satu daripad burung-burung tersebut kelihatan terjejas dan mempunyai masalah pernafasan.

Selepas kes tersebut dilaporkan ke NParks, dia dinasihati untuk membawa burung tersebut berjumpa dengan doktor haiwan, yang dia lakukan pada Disember 2021.

Satu laporan oleh doktor haiwan mendedahkan burung Jambul itu berdiam diri tetapi masih memberi respons. Ia juga didapati bernafas dengan mulutnya terbuka. Doktor haiwan tersebut menjelaskan kemungkinan besar burung Jambul itu mengalami masalah pernafasan selepas menghidu aerosol.

Suami Cik Siti sering memberikan ubat yang diberikan oleh doktor haiwan untuk burung itu, di samping ubat-ubatan yang disediakannya sendiri. Malangnya, burung itu mati enam bulan kemudian pada anggaran usia empat hingga enam tahun.

Dia berkata bahawa dia sebelum ini menerima banyak panggilan daripada majlis bandaran yang memberitahunya bahawa menggantung sangkar burung di luar sedemikian adalah berbahaya.

"Mereka datang banyak kali, menasihati saya untuk tidak menggantung burung, tetapi masalahnya, ramai orang di kawasan saya dan kawasan-kawasan lain juga menggantung burung mereka," jelasnya.

Suami Cik Siti berkata bahawa tiada mana-mana individu yang membuat aduan mengenai burungnya setakat ini, yang disimpannya sejak dia berpindah ke flat tersebut pada 2004 sehingga tempoh pandemik COVID-19.

Perbicaraan tersebut masih berterusan.

Jika disabit kesalahan menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak perlu pada haiwan, Chee boleh dipenjara sehingga 18 bulan, didenda sehingga S$15,000, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan