Wanita saman PUB S$5 juta selepas terjatuh ke dalam lurang
Seorang wanita yang terjatuh ke dalam lurang di laluan pejalan kaki lalu mengalami kecederaan lima tahun lalu membawa kes itu ke mahkamah pada Isnin (23 Nov) untuk menyaman PUB bagi menuntut ganti rugi S$5 juta.
Chan Hui Peng. (Gambar: Dokumen mahkamah)
SINGAPURA: Seorang wanita yang terjatuh ke dalam lurang di laluan pejalan kaki lalu mengalami kecederaan lima tahun lalu membawa kes itu ke mahkamah pada Isnin (23 Nov) untuk menyaman PUB bagi menuntut ganti rugi S$5 juta.
Cik Chan Hui Peng, 47 tahun, sedang berjalan di Simon Road sekitar pukul 10.30 pagi pada 1 Dis 2015 apabila beliau terjatuh ke dalam lurang sedalam 2 meter di persimpangan Upper Serangoon Road.
Mantan akauntan itu mengalami beberapa kecederaan termasuk pergelangan kaki yang patah, lebam dan melecet di 11 bahagian tubuhnya dan tulang belakang yang membonjol.
Disebabkan itu, beliau tidak dapat berlari dan mengalami perubahan pada gaya berjalan, parut pada anggota badannya dan kesakitan pada bahagian bawah badannya. Beliau juga tidak dapat duduk lebih sejam tanpa mengalami kesakitan pada bahagian leher dan mengalami kerosakan saraf yang menjejas tangan kanannya bagi sesetengah kegiatan.
Dalam afidavitnya, beliau berkata bahawa beliau mengalami sakit kepala akibat trauma yang disebabkan oleh kejadian itu dan mengalami kecederaan psikiatri seperti keresahan dan serangan panik. Beliau turut mendakwa mengalami gangguan tekanan pasca trauma, gangguan kemurungan dan skizofrenia.
Beliau juga sudah mula rasa takut berjalan di atas lurang dan mengalami mimpi buruk yang berkaitan dengan insiden tersebut, dan tidak dapat pekerjaan dalam industri perakaunan kerana beliau perlu kerap mengambil cuti sakit.
Para peguamnya dari LegalStandard LLP berkata bahawa PUB telah menerima 70 peratus tanggungjawab atas kemalangan tersebut. Namun terdapat pertikaian berhubung kecederaan fizikal, perbelanjaan perubatan untuk merawat kecederaannya serta rawatan pada masa akan datang dan perbelanjaan berkaitan.
Pada awalnya, sejumlah S$20 juta disenaraikan dalam dokumen mahkamah. Dalam responsnya, para peguam PUB dari WhiteFern LLC mendakwa Cik Chan "sudah membesar-besarkan insiden tersebut dan mengambil kesempatan daripada kecederaan yang didakwanya akibat kemalangan itu".
Cik Chan kemudian mengubah jumlah itu kepada S$5 juta, yang termasuk ganti rugi bagi kesakitan dan kesengsaraan yang dialaminya, perbelanjaan perubatan pada masa akan datang, kehilangan peluang untuk mempunyai anak, kos bagi seorang penjaga dan hilang keupayaan mencari nafkah dan menjana pendapatan pada masa akan datang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.