Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita S'pura ini aktif beri makan percuma kepada golongan gelandangan di KL

Sejak sekitar 20 bulan lalu, seorang rakyat Singapura yang menetap di Kuala Lumpur cukup aktif memberi makanan percuma kepada golongan gelandangan di ibu kota Malaysia itu setiap minggu.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sejak sekitar 20 bulan lalu, seorang rakyat Singapura yang menetap di Kuala Lumpur cukup aktif memberi makanan percuma kepada golongan gelandangan di ibu kota Malaysia itu setiap minggu.

Kini usaha penyelidik dan usahawan Dr Zarina Gurrahman mendapat dorongan cukup besar setelah rakyat Singapura yang lain secara beramai-ramai menderma $50,000 kepada usaha kebajikannya itu.

Dengan modal lebih besar beliau kini mahu melakukan lebih banyak lagi kerja-kerja bantuan melewati golongan gelandangan.

AGIH LEBIH 200 PEK MAKANAN SETIAP MINGGU

Kerja-kerja memberi makan percuma kepada golongan gelandangan awalnya dilakukan Dr Zarina secara sendirian. Beliaulah yang membiaya sendiri kerja kebajikannya itu dan beliau jugalah yang memasak sendiri. Makanan kemudian didermakan kepada golongan gelandangan di Chow Kit Road dan Jalan Tun Perak di KL - suatu kerja yang sudah dipikulnya secara sukarela sejak awal tahun lalu.

Setiap hujung minggu, beliau mengagihkan lebih 200 pek hidangan nasi bersama satu makanan berprotein dengan sayur-sayuran, air serta pencuci mulut seperti bubur kacang durian kepada golongan memerlukan itu.

Namun baru-baru ini, usaha kebajikan beliau itu mendapat sokongan derma luar biasa daripada rakyat Singapura. Dalam tempoh seminggu sahaja sejumlah $50,000 disumbang kepada beliau oleh orang ramai.

Derma tersebut datang mencurah-curah setelah kerja amal itu diuar-uarkan pelakon tempatan, Nurul Aini di media sosialnya.

"Saya rasa sangat bangga dengan semua rakyat Singapura. Masya-Allah, kalau kawan-kawan kita di luar kelaparan, boleh ke kita tidur? Soalan itulah yang selalu terngiang-ngiang di kepala saya.

"Insya-Allah kalau rezeki ada, saya tak akan berhenti. Ia sangat menyayat hati kerana mereka mengambilnya terus makan. Masya-Allah, jadi saya sangat memang tak boleh kawal air mata," kongsi Dr Zarina kepada BERITAmediacorp.

BANTU LEBIH RAMAI RAKYAT M'SIA MEMERLUKAN MENERUSI SUMBANGAN DANA

Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, KL mencatat bilangan gelandangan tertinggi, iaitu hampir 50 peratus daripada lebih 1,200 orang di seluruh Malaysia tahun lalu.

Namun dengan pandemik yang kian menjejas masyarakat, angka tersebut dijangka bertambah.

Kini dengan adanya dana lebih besar, Dr Zarina bukan setakat membantu golongan gelandangan. Beliau turut membantu penjual makanan yang teruk terjejas semasa pandemik ini.

Beliau kini mengambil tempahan makanan daripada para penjual makanan dan makanan itu kemudian didermakan kepada gelandangan.

Dr Zarina menyifatkan langkah tersebut sebagai membantu dua golongan sekali gus!

Kerja membantu golongan gelandangan ini beliau jalankan dengan rakannya, Encik Ayob Abdul Majid, yang juga Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA).

"Saya rasa terharu dan rasa begitu bangga dengan rakyat Singapura yang banyak membantu kami. Nak cakap pun rasa sedih ini, kerana ada yang prihatin dengan nasib gelandangan-gelandangan di KL ini," kata Encik Ayob.

"Bukan kerana kerajaan tak membantu, bukan, jangan ada salah faham di situ kerana banyak juga NGO atau kerajaan yang membantu tapi bagi saya dalam keadaan COVID-19 ini, tidak mencukupi," tambah beliau lagi.

Kini dengan sumbangan dana puluhan ribu dolar itu, Dr Zarina juga sedang melakar bekerjasama dengan lebih banyak pihak. Ini termasuklah bagi menghulurkan barang-barang keperluan asas kepada keluarga-keluarga memerlukan di kawasan-kawasan pedalaman pula.

Yang pasti, meskipun rakyat kedua-dua negara belum dapat merentas sempadan dengan bebas secara fizikal, sumbangan dana seperti ini sedikit sebanyak memastikan bantuan tetap 'sampai' kepada warga memerlukan di negara lain.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan