Wanita retak sebelah lagi kaki ketika pulih pembedahan patah kaki; mahkamah dapati hospital langgar tanggungjawab jagaan
Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang wanita warga emas yang sedang menjalani proses pemulihan di hospital selepas satu pembedahan patah kaki terjatuh, mengalami keretakan pada sebelah lagi kakinya apabila terjatuh.
Cik Pappa Veeramuthu, 80 tahun, kemudian mengemukakan saman terhadap Kumpulan Perkhidmatan Kesihatan Universiit Nasional (NUHSG), yang mengendalikan Hospital Masyarakat Jurong, bagi pampasan.
Menurutnya, pihak hospital dan pekerjanya cuai serta melanggar tanggungjawab menyediakan jagaan, dengan tidak membantunya berpindah dari sebuah kerusi ke katil.
Sebuah mahkamah daerah sebelum ini menolak tuntutan Cik Pappa tetapi Mahkamah Tinggi pada Rabu (29 Mac) membenarkan rayuannya dikemukan terhadap keputusan tersebut.
Hakim Hri Kumar Nair mendapati terdapat pelanggaran dalam tanggungjawab untuk menyediakan jagaan kepada Cik Pappa, dengan membiarkannya di kerusi tersebut dan gagal untuk memindahkannya ke katil. Ini meskipun mereka tahu bahawa Cik Pappa mempunyai masalah sakit tulang belakang.
Akibat kegagalan tersebut Cik Pappa terjatuh.
Namun demikian, isu mengenai sama ada Cik Pappa juga bertanggungjawab ke atas insiden tersebut - kerana dia memilih untuk berjalan dengan sendiri - akan ditentukan dalam perbicaraan seterusnya.
RENTETAN KES
Cik Pappa dimasukkan ke Hospital Besar Ng Teng Fong pada Mac 2017 selepas paha kanannya mengalami keretakan ketika dia terjatuh di rumah.
Beliau menjalani pembedahan dan dinilai sebagai pesakit yang berisiko jatuh.
Dia kemudiannya dipindahkan ke Hospital Masyarakat Jurong dan diletakkan di wad pengasingan satu katil selepas dia didapati mengalami jangkitan.
Satu-satunya cara bagi Cik Pappa untuk berhubung dengan jururawat adalah dengan menggunakan loceng kecemasan.
Pada April 2017, Cik Pappa dibiarkan sendirian di bilik selepas dihidangkan sarapan dan diberi ubat oleh jururawat staf Hou Wenfeng.
Cik Pappa mendakwa bahawa Cik Hou meninggalkan bilik berkenaan tanpa memastikan loceng tersebut dapat dicapainya.
Cik Pappa berkata beliau kemudian mengalami rasa sakit yang "sangat teruk" di bahagian belakangnya tetapi tidak dapat mencapai loceng tersebut. Beliau pun cuba memekik meminta bantuan sekalipun tiada orang yang memberi respons.
Beberapa minit kemudian, kerana tidak pasti bila jururawat akan datang lagi, Cik Pappa memutuskan untuk cuba bangun sendiri dari kerusi, dan baring ke katilnya. Ketika itu beliau terjatuh.
Cik Pappa kemudian merangkak ke katil tersebut, di mana beliau memicit loceng tersebu dan diangkat ke katil.
Disebabkan kejadian itu, tulang paha kirinya mengalami keretakan, dan beliua perlu menjalani pembedahan lagi.
Cik Pappa dipindahkan ke hospital lain untuk menjalani proses pemulihan.
Beliau mendakwa Hospital Masyarakat Jurong dan kakitangannya gagal memastikan penjagaan yang betul dan berkesan serta pemantauan secara berkala, bagi memastikan beliau selesa dan tidak berada dalam keadaan sakit.
Selain itu, hospital tersebut dan kakitangannya gagal untuk menyedari bahawa beliau tidak boleh duduk di kerusi untuk jangka masa yang panjang, tanpa merasakan kesakitan.
HUJAH NUHSG
Menurut NUHSG, Cik Pappa disajikan sarapan di atas katil.
Peguam bagi pihak NUHSG berkata Cik Pappa mesti telah turun sendiri dari katil untuk duduk di kerusi.
Cik Hou juga berkata apabila beliau masuk ke bilik, Cik Pappa sedang duduk di kerusi dan kelihatan selesa apabila beliau keluar kemudian.
NUHSG menegaskan loceng kecemasan dapat dicapai Cik Pappa, tetapi warga emas itu cuba untuk ke katil tersebut dengan sendiri daripada meminta bantuan.
Peguam-peguam tersebut berkata tindakan Cik Pappa yang cuai itu menyumbang kepada keadaannya.
DAPATAN HAKIM
Hakim Nair mendapati hakim daerah melakukan kesilapan, ketika menolak tuntutan Cik Pappa dengan membuat kesimpulan bahawa warga emas tersebut dapat berjalan ketika itu.
Hakim menarik perhatian rekod "skor tahap kesakitan" hospital tersebut juga "sangat tidak memuaskan dan tidak dipercayai".
Cik Hou, mencatat angka "0" dalam rekod penilaian tahap kesakitan bagi Cik Pappa hanya selang beberapa minit selepas beliau terjatuh dan menjerit kesakitan apabila retak tulang pahanya.
Hakim Nair berkata masih kurang jelas bagaimana penilaian tersebut dilakukan, memandangkan Cik Pappa hanya boleh bertutur dalam bahasa Tamil.
Hakim berkata beliau akan mendengar hujah kedua-dua pihak secara berasingan serta berkenaan tuntutan kos yang terlibat.
Isu mengenai kecederaan pula akan ditangani kelak.
Sumber : CNA/SS/ss
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.