Skip to main content

Singapura

Wanita pukul amah, tutup lebam guna alat solek dipenjarakan

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita pukul amah, tutup lebam guna alat solek dipenjarakan

Gambar: iStock

Diterbitkan : 06 Mar 2023 01:11PM
SINGAPURA: Wanita yang memukul pembantu rumahnya dan menutup lebam pada muka mangsa dengan alat solek apabila polis datang untuk memeriksa, dijatuhi hukuman penjara pada Isnin (6 Mac).

Deepakala Chandra Secharan, 38 tahun, dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan 10 minggu dan diarah membayar wang pampasan S$4,000 kepada mangsa, Cik Eni Agustin.

Dia tidak mengaku bersalah namun didapati bersalah atas tiga tuduhan sengaja mencederakan pembantu rumah.

Cik Eni mula bekerja di flat Woodlands Deepakala pada Disember 2019 namun dipukul hanya 16 hari selepas bermula bekerja.

Kes tersebut dibuka apabila pembantu rumah yang tinggal di unit bawah flat tersebut ternampak lebam pada muka Cik Eni. Pembantu tersebut mencadangkan untuk melaporkan hal tersebut kepada pihak berkuasa dan menghubungi Pusat Pekerja Domestik selepas Cik Eni bersetuju.

Polis dimaklumkan dan mereka pergi ke flat tersebut. Apabila Deepakala melihat mereka berada di depan pintu rumahnya, dia membawa Cik Eni ke tandas.

Dia mengarahkan Cik Eni supaya menipu tentang punca kecedaraan yang dialaminya dengan menyatakan bahawa ia disebabkan rawatan tradisional garu badan.

Deepakala juga menggunakan alat solek untuk menutup lebam pada muka Cik Eni.

Namun, pegawai polis kemudian melihat alat solek yang tebal pada muka Cik Eni. Lebam dapat dilihat apabila mukanya dicuci.

HUKUMAN

Pada Isnin (6 Mac), Timbalan Pendakwa Raya Yang Ziliang meminta hukuman penjara antara 12.5 bulan dan enam minggu dan penjara 16 bulan dan lapan minggu untuk Deepakala, bersama-sama dengan perintah pembayaran pampasan sebanyak S$4,000.

Dalam menjatuhkan hukuman, hakim menekankan tentang langkah yang diambil Deepakala untuk menipu polis, menyembunyikan kesalahan dan menghalang mangsa daripada mendapatkan bantuan.

Beliau berkata kes kepentingan awam memerlukan mesej yang jelas untuk disampaikan, bahawa semua kejadian penderaan pembantu rumah akan ditangani dengan tegas.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita