Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita penjaga keluarga boleh terima Geran Penjagaan di Rumah sehingga $400 sebulan

Lebih banyak sokongan mahu diberikan kepada wanita daripada keluarga berpendapatan rendah yang menjaga anak atau ibu bapa.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menjelang awal tahun depan, lebih banyak sokongan mahu diberikan kepada wanita daripada keluarga berpendapatan rendah yang menjaga anak atau ibu bapa.

Menerusi Geran Penjagaan di Rumah Dipertingkat, para wanita tersebut boleh menerima sokongan sehingga S$400 sebulan, dalam usaha mengurangkan beban kewangan ke atas para penjaga.

Demikian kongsi Pengerusi Bersama Perbincangan mengenai Pembangunan Wanita Singapura itu, Cik Rahayu Mahzam. Perbincangan tersebut menghasilkan Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura dan akan dibentangkan di Parlimen bulan depan.

Pengiktirafan dan sokongan bagi golongan penjaga adalah salah satu daripada lima bidang utama Kertas Putih itu yang membutirkan 25 pelan tindakan bagi pembangunan wanita tempatan.

GERAN PENJAGAAN DI RUMAH DIPERTINGKAT

Cik Rahayu yang juga Setiausaha Parlimen Perhubungan dan Penerangan berkata
menerusi sesi-sesi perbincangan mengenai pembangunan wanita Singapura sejak dua tahun lalu, beliau mendapati ramai penjaga wanita dalam masyarakat terkesan dari aspek fizikal, sosio-emosi dan kewangan.

Tinjauan berhubung Pembangunan Wanita pula menunjukkan kaum wanita sekurang-kurangnya empat kali lebih tinggi bertanggungjawab ke atas penjagaan anak-anak dan orang tua, berbanding kaum lelaki.

Lantaran itulah, Geran Penjagaan di Rumah yang diperkenalkan pada 2019 mahu dipertingkat bagi penjaga wanita.

"Bagi mengurangkan lagi beban kewangan para penjaga, Kementerian Kesihatan akan menggandakan jumlah Geran Penjagaan di Rumah (HCG) yang diberikan menjelang awal tahun 2023.

rahayu mahzam

"Geran tersebut akan dinaikkan daripada S$200 sebulan kepada S$400 sebulan bagi keluarga yang berpendapatan rendah dan ini adalah antara golongan yang mungkin paling banyak cabarannya dalam menanggung kos-kos penjagaan. Jadi ini adalah untuk membantu mereka mengiktiraf sumbangan para penjaga dan juga mengurangkan kos-kos penjagaan," kata Cik Rahayu.

Juga dijangka mendapat geran bulanan S$400 itu ialah mereka yang tiada pendapatan dan tinggal di rumah dengan nilai tahunan sehingga S$13,000.

Penjaga wanita dengan pendapatan bulanan per kapita antara S$1,201 hingga S$2,800 pula boleh mendapat geran sebanyak $250 di bawah HCG Dipertingkat.

Buat masa ini, kata Cik Rahayu, lebih daripada 31,000 individu sudahpun meraih Geran Penjagaan di Rumah sebanyak S$200.

EKOSISTEM BANTUAN AKAN TURUT DITUBUHKAN BAGI PENJAGA

Demi meningkatkan kesedaran serta memberi sokongan masyarakat kepada para penjaga wanita yang menghadapi tekanan, ekosistem bantuan akan turut ditubuhkan di mana mereka boleh mendapat bantuan daripada para penjaga lain.

Cik Rahayu berkata: "Dalam usaha ini kita telah menyatukan usaha Persatuan Rakyat, Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) dan pusat-pusat sukarelawan SGCares yang akan berganding bahu dengan agensi-agensi perkhidmatan sosial untuk mewujudkan rangkaian-rangkaian sokongan rakan setara atau 'peer support' berasaskan masyarakat.

Ini, kata Cik Rahayu, bertujuan untuk meningkatkan lagi sokongan sosio-emosi bagi para penjaga.

Para penjaga juga boleh mendapat bantuan daripada Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) yang menjadi sumber sehenti bagi isu-isu penjagaan.

CIk Rahayu juga menyeru seluruh masyarakat supaya memainkan peranan dalam memberi sokongan kepada para penjaga.

"Ahli keluarga memainkan peranan untuk memberi sokongan kepada para penjaga. Majikan memainkan peranan untuk mempermudahkan mereka yang mungkin ada tanggungjawab menjaga anak-anak atau orang tua, jadi ini harus kita terus pupuk dan harus terus kita lakukan bersama.

"Diharapkan ini dapat sama-sama meringankan beban bagi para penjaga," ujar beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa