Skip to main content

Singapura

Wanita nafi dakwaan kaitan dengan kes Prof Faishal; Zaqy Mohamed gesa hentikan sebaran tuduhan tidak berasas

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita nafi dakwaan kaitan dengan kes Prof Faishal; Zaqy Mohamed gesa hentikan sebaran tuduhan tidak berasas

(Gambar: Zaqy Mohamad\Facebook)

Diterbitkan : 27 Jul 2026 05:19PM
  • Zaqy Mohamad menggesa orang ramai di Singapura supaya menghentikan penyebaran tuduhan palsu terhadap seorang wanita yang dikaitkan secara salah dengan kes melibatkan Prof Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
  • Wanita tersebut tampil menafikan dakwaan di Instagram, menjelaskan interaksinya dengan Prof Faishal hanya berlaku semasa dua acara kecergasan anjuran MAEC Kampung Ubi.
  • Beliau memberi amaran bahawa penyebaran maklumat palsu boleh melanggar undang-undang POFMA dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah.
  • Zaqy turut menzahirkan simpati kepada Prof Faishal dan keluarganya, serta mengingatkan masyarakat agar lebih bertanggungjawab dan menghormati privasi individu di media sosial.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad menggesa orang ramai supaya menghentikan penyebaran tuduhan tidak berasas terhadap seorang wanita yang didakwa secara salah mempunyai kaitan dengan kes melibatkan pemegang jawatan beliau sebelumnya Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dalam catatan Facebook pada Ahad (26 Jul), Encik Zaqy berkata wanita tersebut terpaksa tampil secara terbuka bagi menjelaskan bahawa beliau tidak terlibat dalam kes berkenaan selepas gambar dan identitinya tersebar di media sosial.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan wanita tersebut menjadi sasaran tuduhan palsu dan komen berbaur penghinaan.

"Tiada individu yang tidak bersalah, khususnya seorang wanita, sepatutnya menjadi mangsa gangguan sedemikian akibat spekulasi yang tidak berasas," tulis beliau.

Encik Zaqy turut menzahirkan rasa simpati terhadap Prof Faishal dan keluarganya yang menurut beliau sedang melalui masa yang sukar.

"Prof Faishal telah berkhidmat kepada masyarakat dengan penuh keikhlasan dan dedikasi selama bertahun-tahun. Saya berharap kita akan terus menghormati privasi mereka serta memberikan ihsan yang sewajarnya," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab ketika berkongsi kandungan di media sosial.

"Sebelum berkongsi sesuatu dakwaan, marilah kita berhenti sejenak, mengesahkan fakta dan mengingati bahawa beberapa klik dalam talian boleh menyebabkan kesakitan yang mendalam kepada individu yang tidak bersalah," katanya.

Awal dari itu, wanita yang disalah kaitkan dengan kes tersebut memuat naik kenyataan di Instagram bagi menafikan dakwaan yang tular.

Beliau menjelaskan bahawa satu-satunya interaksi dengan Prof Faishal adalah ketika dua acara kecergasan yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Kampung Ubi.

Wanita itu turut menggesa mereka yang membuat atau menyebarkan dakwaan berkenaan supaya menghentikan tindakan tersebut dan mengemukakan bukti jika benar mempunyai asas terhadap tuduhan yang dibuat.

Beliau juga memberi amaran bahawa penyebaran maklumat palsu boleh melanggar Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA), dan berkata beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terus menyebarkan dakwaan palsu.

Menurutnya, khabar angin dan tuduhan tanpa bukti boleh memberi kesan sebenar terhadap kehidupan individu serta keluarga mereka, dan menyeru orang ramai supaya menghentikan gangguan siber serta menghormati maruah dan privasi orang lain.
Sumber : BERITA Mediacorp/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita