Skip to main content

Singapura

Wanita mengaku simbah kopi pada kostum tarian singa, ganggu pertandingan

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita mengaku simbah kopi pada  kostum tarian singa, ganggu pertandingan

Gambar fail Lim Sok Lay (kanan) dan tertuduh bersama, Cheang Eng Hock di Mahkamah Negara pada 21 Mei, 2021. (Gambar: TODAY/Nuria Ling)

Diterbitkan : 03 Feb 2025 02:02PM Dikemas Kini : 03 Feb 2025 02:04PM
SINGAPORE: Seorang wanita berusia 52 tahun merosakkan kostum tarian singa dengan menyimbah kopi serta menendang kepala singa pada kostum itu di Pusat Masyarakat West Coast.

Dalam satu insiden berasingan, Lim Sok Lay juga berulang kali menolak seorang lelaki yang disyakinya mencakar cucu lelakinya di sebuah kedai kopi di Punggol.

Lim mengaku bersalah pada Isnin (3 Feb) atas satu tuduhan masing-masing kerana melakukan perbuatan nakal dan menggunakan kekerasan jenayah. Dua tuduhan lain akan dipertimbangkan apabila dia dijatuhkan hukuman pada 26 Feb.

Suami Lim, Cheang Eng Hock, 60 tahun, juga dituduh menuang kopi ke atas kostum tarian singa dan mengganggu persembahan tarian singa. Dia dijangka mengaku bersalah pada 21 Feb.

Pasangan itu menjadi bahan berita pada tahun 2022, apabila mereka didenda kerana mengganggu jiran mereka, salah seorangnya seorang jururawat, dengan menjerit "penyebar COVID" dan menyembur cecair pembasmi kuman ke arah flat jirannya itu.

Pada Isnin, mahkamah diberitahu bahawa Lim dan Cheang masih bertelagah dengan anak lelaki mereka kerana menyertai kumpulan tarian singa.

Lim tidak suka anaknya bergaul dengan kumpulan itu kerana dia percaya mereka pengaruh buruk kepadanya, kata Timbalan Pendakwa Raya Tin Shu Min.

Pada 29 Jul 2023, pasangan itu tahu bahawa kumpulan anaknya akan membuat persembahan di Kelab Masyarakat West Coast dan pergi ke sana untuk berhadapan dengan mereka.

Apabila mereka tiba, mereka melihat kumpulan itu sedang bersedia untuk pertandingan. Sekitar pukul 3.45 petang, Lim menuang kopi ke atas kostum tarian singa kumpulan itu, menyebabkan kesan yang tidak dapat dibersihkan. Dia juga menendang kepala kostum itu.

Tindakannya itu menyebabkan kerosakan bernilai S$1,330 kerana kostum itu tidak lagi boleh digunakan dalam pertandingan tarian singa.

Kira-kira 200 orang sedang menghadiri pertandingan itu, dan tindakan Lim mengganggu acara itu selama kira-kira 10 minit. Dia terpaksa diiring keluar dari tempat kejadian.

Satu insiden sebelumnya pada Februari 2023 melibatkan Lim menolak seorang lelaki yang dia percaya telah mencakar hidung cucu lelakinya yang masih bayi.

Pada 2 Feb 2023, Lim dan ahli keluarga yang lain berada di sebuah kedai kopi di Waterway Ridges, sebuah estet HDB di Punggol. Mangsa, seorang kenalan jauh keluarga, juga berada di sana.

Mangsa menawarkan diri untuk mendukung cucu lelaki Lim yang berusia lima bulan, yang sedang menangis. Dia mendukung bayi itu semasa beratur untuk beli makanan di hadapan keluarga Lim, dan juga selepas duduk bersama keluarga Lim di meja mereka.

Kemudian pada malam itu, Lim melihat calar pada hidung bayi itu dan percaya bahawa lelaki tersebut yang menyebabkannya.

Siasatan menunjukkan bahawa tiada bukti mangsa telah menyebabkan calar itu, kata Cik Tin.

Keesokan paginya, Lim bersemuka dengan mangsa di kedai kopi yang sama dan menolaknya lima kali sebelum meninggalkan tempat itu.

Lim boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya kerana melakukan perbuatan nakal. Hukuman bagi untuk menggunakan kekerasan jenayah ialahpenjara sehingga tiga bulan, dendatidak lebih S$1,500 atau kedua-duanya.
Sumber : CNA/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita