Skip to main content

Singapura

Wanita mengaku palsukan ijazah NTU, perdaya 4 syarikat ambilnya bekerja

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita mengaku palsukan ijazah  NTU, perdaya 4 syarikat ambilnya bekerja

Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY

SINGAPURA: Seorang wanita memalsukan ijazah universitinya dan memperdaya empat syarikat untuk mengambilnya bekerja sebagai penyunting.

Dia menerima gaji antara S$4,300 dan S$6,800 sebulan.

Fonseka Wannerichega Hema Ranjini, 44 tahun, seorang wanita rakyat Singapura mengaku bersalah pada Khamis (23 Nov) atas dua tuduhan menipu dan satu tuduhan melakukan pemalsuan. Dua lagi tuduhan dipertimbangkan ketika hukuman dijatuhkan.

Mahkamah diberitahu bahawa Fonseka menuntut di Universiti Teknologi Nanyang pada 1998 dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan pengeluaran. Bagaimanapun, dia berdepan masalah pembelajaran serta kewangan, dan mengambil keputusan untuk menarik diri dari program itu pada 2004.

Setahun kemudian, dia memalsukan sijil dan mencetaknya sebelum disalutkan plastik. Ia memberi gambaran seakan-akan dia memiliki ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan NTU dengan kepujian kelas ketiga, walhal dia hanya memperolehi sijil Peringkat-A.

Fonseka kemudian memohon kerja menggunakan dokumen palsu itu, dengan harapan mendapatkan gaji lebih tinggi. Pada Ogos 2005, dia ditawarkan bekerja sebagai penolong penyunting pengurusan di Marshall Cavendish Education, yang menawarkan gaji S$4,200 sebulan.

Pada Jun 2015, Fonseka mencari kerja baharu dan memohon kerja di Scholastic Education International, sebuah syarikat penerbitan dan pengedar buku serta bahan pendidikan. Dia menggunakan sijil palsu itu sekali lagi dan diambil bekerja sebagai penolong penyunting pengurusan dari Julai 2015 hingga Jun 2016 dengan gaji S$4,300 sebulan.

Dia dipecat pada Februari 2017 kerana prestasi tidak memuaskan.

Secara keseluruhan, Scholastic Education membayar Fonseka sekitar S$83,000.

Pada 2021, Fonseka membuat pemohonan untuk bekerja di syarikat The Walt Disney Company (Asia Tenggara), yang mengambilnya kerja sebagai penyunting dari Jun hingga Disember pada tahun tersebut.

Dia diberi gaji bulanan S$6,800, dengan elaun pengangkutan S$1,084, menjadikan gaji keseluruhannya sebanyak S$7,884. Fonseka menerima sekitar S$47,300 daripada syarikat tersebut ketika bekerja di sana.

Semasa Fonseka bekerja dengan The Walt Disney Company, syarikat tersebut menghantar sijilnya untuk disahkan oleh vendor pihak ketiga yang mahir dalam pemeriksaan latar belakang.

Apabila NTU mengesahkan ia tidak mengeluarkan sijil tersebut, dan Fonseka menarik diri dari universiti itu pada 2004, vendor tersebut memaklumkannya kepada The Walt Disney Company.

Seorang pekerja NTU membuat laporan polis berhubung sijil palsu itu, dan Fonseka meletak jawatan pada Disember 2021.

Selain Marshall Cavendish Education dan The Walt Disney Company, Fonseka juga menipu Cengage Learning Asia dan Oxygen Studio Designs untuk mengambilnya bekerja. Syarikat tersebut masing-masing membayarnya S$190,500 dan S$25,400 ketika dia bertugas.

Fonseka akan kembali ke mahkamah untuk membuat rayuan dan mendengar hukuman pada Disember.

Bagi setiap tuduhan menipu, dia boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan melakukan pemalsuan, dia boleh didenda dan dihukum penjara sehingga tujuh tahun.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita